Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu, memenuhi ikrar Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya dalam pilihanraya umum 2004.

"Ada banyak perkara yang perlu ditangani dan saya buat sedaya yang termampu, dan akhirnya apabila rancangan itu dibentangkan, ia memenuhi manifesto pilihanraya yang lalu," katanya di majlis makan malam amal Imperial College Alumni di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut laporan Bernama, antara janji BN dalam manifesto terserbut ialah tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan dan setiap rakyat mempunyai tempat tersendiri dalam pembinaan negara.

BN juga berikrar meneruskan strategi pertumbuhan ekonomi untuk mencapai wawasan 2020 dan akan meningkatkan dayasaing negara, memupuk persekitaran mesra perniagaan dan meneruskan pengurusan fiskal dengan berhati-hati.

Perdana Menteri berkata, ada banyak persoalanan yang dibangkitkan oleh orangramai tentang bagaimana kerajaan akan memenuhi manifesto itu.

"Rancangan ini adalah jawapannya...walaupun ia tidak boleh memenuhi segala yang dijanjikan, namun RMK-9 boleh membawa kita bagi mencapai Wawasan 2020," tambahnya.

Penuhi wawasan

Menurutnya, walaupun kerajaan yakin dapat memenuhi wawasan itu, namun ia memerlukan kerjasama dan sokongan dari semua rakyat.

"Kerajaan boleh sediakan kepimpinan dan kemudahan, tapi sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan boleh lakukan lebih lagi. Ia adalah wawasan untuk dikecapi oleh semua rakyat Malaysia, jadi bekerjalah bersama-sama dengan saya," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga bertekad untuk memastikan semua rancangan dilaksanakan dengan berkesan.

"Tidak ada gunanya jika kita hanya merancang tanpa mencapai apa-apa...ia akan mengecewakan," katanya dan menambah bahawa kerajaan juga akan memastikan semua halangan yang muncul dalam rancangan pembangunan terdahulu, tidak akan berulang.

Abdullah berkata RMK-9 akan menyediakan peluang yang mencukupi bagi sektor swasta untuk melabur dalam sektor yang dapat membawa pembangunan kepada negara.

Beliau berkata ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan sebagai satu cara untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat terutama di kawasan pendalaman.