Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP pertahan akta berita palsu, kemudian saling lontar 'berita palsu'
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

PARLIMEN | Anggota Parlimen BN menyuarakan bantahan terhadap pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa di kalangan mereka mula melontarkan apa yang didakwa mereka sebagai "berita palsu" ke arah anggota parlimen kerajaan.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) menekankan bahawa fitnah di Internet kini tersebar luas.

Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kemudian mencelah dan membangkitkan dakwaan bahawa Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) merujuk Kongres Maruah Melayu minggu lalu sebagai Kongres Barua Melayu.

Anwar bagaimanapun telah menafikan dakwaan itu.

“Saya nak tanya Kinabatangan, adakah berita yang tular semalam mengenai suara Port Dickson (Anwar Ibrahim) mengatakan kongres barua kepada Tun (Dr Mahathir Mohamad).

“Orang kampung semua sudah tahu. Adakah ini boleh ambil tindakan kalau ia berita palsu, atau (ia) betul-betul terjadi?" soalnya.

Mohd Salim Sharif

Tampak sedikit ketawa, Bung kemudian menegaskan dakwaan itu bukan berita palsu.

“Itu berita betul. Bermacam-macam orang boleh spekulasi tetapi saya tak nak komen,” katanya.

Bagaimanapun, ketika Pang Hok Liong (PH- Labis) membalas dengan mempersoalkan sama ada gambar Bung di kasino yang tersebar di Internet benar atau tidak, Bung segera menjawab ia palsu.

“Dia juga memberi amaran kepada Pang agar tidak mencabarnya, sebelum menggelar dirinya sebagai “pendekar minum darah”.

“Itu memang berita palsu. Kalau YB nak tanya soal gambar, banyak lagi video saya boleh tunjuk.

“YB nak dengar tak video (tersebut)? Saya kasi hidup (pasang) sekarang. Semua orang boleh tengok.

“Jangan cabar saya, anda salah orang. Saya ini pendekar dari Sabah. Jangan main-main. Orang sungai, minum darah,” katanya.

Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudian turut serta dengan mendakwa Wong Shu Qi (PH-Kluang) telah mengaitkan tulisan Jawi kepada porno.

“Kluang kata tulisan jawi itu macam porno. Apakah dia peminat filem porno. Adakah ini berita palsu atau benar?" soalnya.

Wong kemudian membantah kenyataan Shahidan, dan berkata kata-katanya diambil di luar konteks.

Beliau juga menggesa pengerusi Umno Perlis itu menarik balik kenyataan itu tetapi Shahidan enggan berbuat demikian.

Dalam satu sesi bersama orang bukan Islam sebelum ini, Wong mengatakan tulisan Jawi ada digunakan dalam buku erotik, bagi menunjukkan tulisan itu bukan hanya untuk tujuan agama.

Wong Shu Qi

Wong kemudian berkata kenyataannya itu dipetik di luar konteks oleh mereka yang mendakwa beliau menyamakan tulisan Jawi dengan pornografi.

Ketika perdebatan masih tidak reda, Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mencelah untuk mengingatkan Bung bahawa masa yang diperuntukkan untuk beliau berbahas sudah hampir tamat.

Bung kemudian menyimpulkan perbahasannya.

Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2018 namun kemudian ditolak di peringkat Dewan Negara yang dikuasai BN.

RUU itu kemudian dibentang semula minggu ini. Menurut prosedur Parlimen, Dewan Rakyat boleh meluluskan semula RUU setahun selepas ditolak di peringkat Dewan Negara.

Ia kemudian akan diterima sebagai undang-undang walau tanpa kelulusan Dewan Negara.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diperkenalkan ketika pentadbiran BN di saat skandal 1MDB hangat diperkatakan.

Kerajaan baru kini bergelut dengan berita palsu tetapi berpendirian ia boleh ditangani dengan undang-undang sedia ada.

Undang-undang itu mencetuskan kebimbangan kerana kuasanya yang luas termasuk membenarkan kerajaan mewajibkan memadam laporan yang dikira mengandungi "berita palsu".

Lihat Komen
ADS