Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yakin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Kelantan tidak akan berpaling tadah kepada Umno ketika desas-desus semakin kuat bahawa kerajaan negeri itu sedang menimbang mengadakan pilihanraya mengejut untuk mendapatkan mandat lebih kukuh daripada rakyat.

Ini berikutan laporan menyatakan ada di antara Adun PAS ditawarkan wang oleh mereka yang tidak dikenali untuk berpaling tadah kepada Umno.

Hadi percaya, ahli parti itu semakin mantap dan tidak mudah dibeli kerana keyakinan terhadap perjuangan parti semakin meningkat dari setahun ke setahun.

"Saya yakin kemampuan ahli-ahli PAS kini adalah berbeza dengan tahun-tahun 50-an dan 60-an. Tetapi keyakinan Umno masih pada tahap 50-an dan 60-an di mana wang menjadi tongkat membina kekuatan," katanya kepada pemberita ketika ditanya sejauhmana keyakinan parti itu terhadap Adunnya di Kelantan.

Bekas menteri besar Terengganu itu dipetik oleh Bernama sebagai berkata PAS mempunyai ketahanan yang mantap dalam menghadapi politik wang.

Beliau menyifatkan laporan kononnya PAS akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk mengadakan pilihanraya mengejut merupakan berita yang telah lama sengaja dicetuskan.

'Isu minyak bantu PAS'

Kedudukan Kerajaan Kelantan kini dianggap seperti "telur di hujung tanduk" berikutan kedudukan PAS yang memerintah negeri ini dengan kelebihan satu kerusi.

BN menambah satu kerusi apabila memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu apabila calonnya Hanafi Mamat menewaskan calon PAS Hanifa Ahmad dan calon Bebas Datuk Ibrahim Ali, dengan majoriti 134 undi.

PAS kini mempunyai 23 kerusi manakala BN 22 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, sokongan rakyat Kelantan kepada wakil PAS yang memerintah negeri itu kini semakin baik dan isu nasional seperti kenaikan harga minyak, turut membantu kepada sokongan ini.

"Ini meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS di Kelantan...kita nampak ini sekarang," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan bahawa DUN Kelantan tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Sambil menyifatkan isu tersebut sebagai satu provokasi jahat yang sengaja ditimbulkan untuk menggugat suasana aman di Kelantan, Mursyidul Am PAS itu berkata:

"Saya tolak berapa kali dah (kemungkinan pembubaran DUN Kelantan). Banyak kali dah dok kata benda ni," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Kota Bharu semalam.

'BN sudah bersedia'

Katanya, perkara itu ditimbulkan pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan pihak lain, demi kepentingan mereka.

"Ada sesetengah tu otak dia macam Amerika. Dia tak boleh tengok negara Arab tenang kecuali dia buat masalah. Dia tuduh Saddam (Hussein) ada bom pemusnah dunia, akhirnya dia bom Iraq, bomnya (pemusnah) tak ada, (tetapi) orang Iraq yang mati.

"Sama macam bila dia (Amerika) bom Afghanistan, syarikat dia yang (akhirnya) untung. Berapa banyak syarikat dia yang untung selepas dia baiki jalan, bangunan yang dia bom," katanya.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya mengenai desas-desus tersebut berkata, BN sedia menghadapi apa jua perkembangan politik yang bakal berlaku di Kelantan.

"Umno dan BN bersedia apa jua situasi pada bila-bila masa," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena penganugerahan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) daripada Sultan Kelantan, semalam.