Jika Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima jemputan RTM, maka beliau akan bersemuka dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dalam program popular Debat Perdana di RTM1.

Tajuk perbincangan dalam program berkenaan ialah Rancangan Malaysia Kesembilan dari perspektif Islam, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.

Katanya, surat jemputan rasmi akan dihantar kepada Nik Abdul Aziz (foto) berhubung perkara itu tidak lama lagi.

"Jemputan itu dibuat berikutan kesediaan Datuk Seri Annuar Musa untuk bersemuka dengan Nik Aziz dalam perdebatan terbuka di RTM," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

'Harap Nik Aziz terima'

Menurut laporan Bernama, Annuar mahu RTM memberi peluang kepadanya dan Nik Aziz berdebat mengenai RMK-9, ketika berucap di majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang dirasmikan Zainuddin petang semalam.

Zainuddin berharap Nik Abdul Aziz akan menerima jemputan itu kerana beliau yakin program yang mengemukakan dua tokoh besar Kelantan itu sebagai sangat menarik dan ditunggu-tunggu orang ramai.

"Janganlah pula (Nik Aziz) tak terima, kerana sebelum ini pernah berlaku pemimpin pembangkang Lim Kit Siang dijemput tetapi telah menghantar anaknya (Lim Guan Eng)," katanya.

Beliau berkata usaha RTM ini merupakan kesinambungan kepada sikap keterbukaan dan kepercayaan kepada kebebasan (bersuara) kerajaan dengan menjemput ramai tokoh parti pembangkang untuk berbahas mengenai isu semasa melalui program Debat Perdana.