Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghantar Foodpanda: Kami cari kerja di tempat lain saja

Rata-rata pekerja syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda meluahkan rasa kesal atas keputusan majikannya yang tetap dengan skim pembayaran baru, malahan kini mereka mula mencari kerja di tempat lain.

Seorang penghantar syarikat berkenaan, Muhammad Iqmal Hairi berkata dia sudah mula mencari kerja di syarikat penghantaran makanan lain.

“Kami jujur memang tidak puas hati, mereka (syarikat) macam tak kisah langsung. 

"Jadi saya pun sekarang tengah proses nak cari kerja rider (penghantar) di tempat lain saja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Muhammad Iqmal, syarikat juga tidak memandang serius setelah mereka berusaha untuk melakukan mogok bagi mendapatkan hak mereka.

“Kami redah hujan panas. Bila makanan lambat sampai ke pelanggan, kena marah.

"Kami cuma mahu hak secara adil sahaja,” katanya yang sudah menjadi penghantar makanan kepada Foodpanda selama setahun.

Malah, penghantar yang hanya mahu dikenali sebagai Gason turut berkata, dia kini sudah mula mencari kerja di tempat lain bagi menanggung biaya dirinya dan keluarga.

“Tuhan saja tahu nasib kami macam mana sekarang ini, kerja hendak cari susah, tetapi saya memang tengah cari peluang kerja di tempat lain,” katanya yang merupakan penghantar dari Johor Bahru.

Sementara itu, Mohamad Taufiq Supardi pula menjelaskan syarikat telah bertindak secara melampau tanpa mempedulikan nasib pekerja.

“Sekarang Foodpanda makin lama makin melampau, kami pun bekerja siang malam cari rezeki,” katanya yang bekerja sebagai penghantar di Selangor.

Perjumpaan di Johor

Malah, Mohamad Taufiq menjelaskan mogok tetap akan diteruskan jika syarikat dilihat terus-terusan memberi tekanan kepada penghantar.

Turut senada meluahkan rasa kecewa, seorang penghantar yang hanya mahu dikenali sebagai Mail berkata perjumpaan bersama penghantar akan diadakan esok di Johor Bahru bagi menentukan jalan penyelesaian.

Kata Mail, perjumpaan tersebut dianjurkan oleh aktivis muda Johor, Khaled Nordin bagi membincangkan hak dan nasib pekerja syarikat itu.

Terdahulu, Foodpanda Malaysia membayangkan mereka tiada masalah dengan mogok penunggang terhadap skim pembayaran baru mereka.

Pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das (gambar, bawah) berkata penghantar yang tidak mahu bekerja perlu memberikan atau menukarkan syif mereka kepada penghantar lain agar tidak menjejaskan pendapatan mereka.

Bagaimanapun, Foodpanda dipetik Harian Metro pula berkata sebahagian kenyataan daripada taklimat media pengarah urusan syarikat itu Sayantan Das itu pada 7 Oktober lalu telah diambil secara luar dari konteks asal.

“Niat kami hanyalah untuk menjelaskan mengenai isu yang timbul serta perincian skim pembayaran terbaru itu yang sudah disalah tafsir oleh kebanyakan pihak,” katanya.

Menurut Foodpanda lagi, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan skim barunya sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Ekosistem Foodpanda terdiri daripada penghantar, rakan kongsi dan pengguna yang mana semuanya adalah tulang belakang kami," jelas syarikat itu.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengingatkan syarikat itu supaya tidak angkuh.

Kata Syed Saddiq, sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja atau pengguna dan boleh dijatuhkan oleh pekerja atau pengguna.

Tambahnya lagi, penghantar makanan Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan syarikat itu boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Pada 1 Oktober lalu, menteri itu mengadakan sesi dialog dengan lebih 100 penghantar makanan Foodpanda berkumpul di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Penghantar yang hadir dari Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan skim pembayaran baru syarikat itu.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 Sept 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Penghantar mendakwa, di bawah skim baru, kadang-kadang mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga jam untuk mendapatkan pesanan dan sebagai akibatnya pendapatan mereka berkurangan.

Berdasarkan skim baru itu, bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Lihat Komen
ADS