Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maju bida Plus, janji kurang kadar tol 36 peratus
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 11:26 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Maju Holdings Sdn Bhd mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada Plus Malaysia Bhd sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar.

“Kerajaan ketika ini perlu membayar kepada Plus kira-kira RM2.7 bilion bagi pampasan tol, dan sekiranya Maju Holdings mengambil alih Plus, kami ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan membiarkan kerajaan bertanggungjawab bagi hutang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya ini akan diterjemahkan kepada penjimatan RM2.7 bilion di pihak kerajaan atas hakikat bahawa Maju Holdings akan menyerap pampasan RM2.7 bilion itu.

“Nilai enterpris kami untuk membeli Plus termasuk tunggakan hutang kepada pemegang bon iaitu sebanyak RM34.9 bilion.

"Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar dan adil bagi syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira hasrat kami untuk menawarkan diskaun ketara kepada pengguna lebuh raya Malaysia,” katanya.

Maju Holdings juga bercadang untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus dan tidak akan meminta pampasan kewangan daripada kerajaan bagi pengurangan itu.

Selain itu, syarikat juga komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.

Maju Holdings, pemilik Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway (MEX), berkata dengan tawaran terbaru itu, syarikat menawarkan kepada kerajaan dan pemegang saham sedia ada Plus Kadar Pulangan Dalaman jumlah ekuiti pada anggaran 16 peratus.

“Ini membabitkan pulangan yang melebihi kos ekuiti bagi majoriti konsesi jalan bertol yang lain, sama ada di peringkat global mahupun di Asia Tenggara,” katanya.

Syarikat itu juga yakin rekod operasinya yang baik dalam menguruskan lebuh raya MEX akan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan Plus.

“Kami telah berjaya mengendalikan operasi lebuh raya MEX secara cekap kos pada tahap tinggi berbanding dengan jalan bertol Plus yang sepatutnya mendapat manfaat daripada pelbagai skala ekonomi.

"Malah, kami mempunyai satu daripada kos terendah bagi setiap kilometer di negara ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS