Terjemahan Nampaknya lobi Majlis Peguam untuk menghapuskan Seksyen 46A Akta Profesyen Guaman (LPA) yang antara lain tidak membenarkan ahli politik atau peguam yang mempunyai kurang tujuh tahun pengalaman, memegang jawatan telah menemui jalan buntu. Ataupun belum lagi?

Jawapan daripada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas di Parlimen pada 22 Mac lalu, menunjukkan semua usaha untuk menghapuskan "peruntukan yang bersifat diskriminasi' itu telah menemui gagal.

"Kerajaan tidak akan menghapuskan Seksyen 46A Akta Profesyen Guaman 1976. Alasan peruntukan itu digubal ialah untuk memastikan Majlis Peguam bebas dari sebarang pengaruh parti politik dan mengelak berlaku percanggahan kepentingan.

"Kebebasan dari pengaruh politik akan membolehkan Majlis Peguam bergerak sebagai sebuah badan profesional untuk mempertahan dan mengekalkan matlamat penubuhannya, seperti yang dinyatakan dalam Akta Profesyen Guaman," kata Kayveas ketika menjawab soalan dari Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Peguam, Yeo Yang Po berkata perkara tersebut tidak berakhir di situ, berasaskan kepada maklumbalas positif dari Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Nazri Abdul Aziz, yang bidangkuasanya turut meliputi bidang kehakiman.

Ini kerana, ketika mengadakan dialog terbuka dengan majlis tersebut pada 22 Februari lalu, Nazri telah menyatakan sokongan terbukanya supaya peruntukan tersebut dihapuskan.

Malah, beliau berjanji akan menjadikannya satu keutamaannya, dengan berkata "adalah pelik peguam yang menjadi ahli politik tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam badan yang menjadikannya seorang peguam".

Nazri sekali lagi mengulangi sokongannya itu dalam wawancara ekslusif dengan malaysiakini.

Perkembangan mengelirukan

Yeo berkata, adalah mengelirukan bagaimana Kayveas boleh membuat kenyataan yang bercanggah dengan Nazri, memandangkan keputusan akhir terletak di tangan Nazri.

"Dalam pertemuan kita dengan menteri berkenaan berhubung perkara tersebut, telah menghasilkan respons yang positif," katanya ketika dihubungi.

"(Pendirian) Majlis Peguam memang jelas mengenai perkara ini. Kita berpegang kepada apa yang dikatakan oleh pihak menteri mengenai isu itu.. Beliau(Nazri) menyokongnya dan sehingga ini tidak menunjukkan yang beliau telah berubah fikiran," katanya.

Katanya, beliau bercadang untuk menemui Nazri dalam masa terdekat ini untuk mendapatkan penjelasannya mengenai duduk perkara tersebut.

Mengulas kenyataan Kayveas itu, Timbalan Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan berkata, adalah menjadi hak ahli untuk memutuskan siapakah yang mereka rasa layak untuk menerajui majlis berkenaan.

"Kami percaya ia merupakan satu peruntukan yang bersifat diskriminasi. Sepatutnya serahkan kepada kebijaksanaan ahli untuk memilih siapakah yang layak mewakili mereka," katanya ketika dihubungi.

Turut menyokong pandangan tersebut ialah ahli majlis berkenaan, Edmund Bon yang menggesa timbalan menteri berkenaan supaya tidak melayan peguam seperti "kanak-kanak sekolah".

"Beliau patut member kepercayaan kepada ahli Majlis Peguam memilih dengan bijaksana. Jika mereka fikir ahli politik tidak bagus untuk Majlis, ia akan dicerminkan dalam pengundian. Kita semua sudah cukup matang untuk membuat keputusan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan Kayveas di Parlimen itu juga gagal menangani isu berkaitan dengan peruntukan tersebut sepenuhnya.

Tiada perbincangan?

"Kayveas hanya menyentuh cabang kedua peraturan tersebut yang membabitkan ahli politik. Ia bagaimanapun tidak menangani soal kedudukan peguam 'muda' yang menjadi perkara pokok kempen kita," tambahnya.

Seperti juga Yeoh, beliau mendapatinya ganjil bagi satu kementerian mengeluarkan dua kenyataan yang bercanggah.

"Saya tidak tahu sama ada perbincangan dibuat sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan," kata Bon.

Seksyen 46A LPA melarang ahli yang mempunyai kurang tujuh tahun pengalaman, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan penyandang jawatan dalam kesatuan sekerja, daripada memegang jawatan dalam majlis tersebut.

Peruntukan tersebut terkandung di dalam LPA 1976 apabila ia dipinda oleh Parlimen. Ia telah mencetuskan bantahan di kalangan peguam, yang sebelum itupun, telah mendakwa Seksyen 46A melanggar kebebasan berpersatuan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

LPA mengawal aktiviti para peguam dan mengawalselia Majlis Peguam badan 36 anggota yang menguruskan halehwal dan melaksanakan fungsi Majlis Peguam Malaysia. Berita asal


Sila hantar komen anda mengenai isu di atas kepada voxpopuli@malaysiakini.com. Emel anda mungkin disiarkan dalam Malaysiakini. Sila nyatakan jika anda tidak mahu nama sebenar anda disiarkan.