mk-logo
Berita
Isu LTTE: Exco Melaka, Adun DAP ditahan polis
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 5:41 AM
Dikemaskini: 10:45 AM

Polis menahan exco Melaka G Saminathan dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan dua pemimpin DAP itu.

Kedua-dua mereka dipercayai ditahan pagi ini.

Maklumat juga tersebar di Whatsapp bahawa Saminathan, yang juga Adun Gadek, ditahan di pejabatnya dan digari.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Sumber-sumber mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa mereka berdua ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Akta itu membenarkan penahanan selama 28 hari.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga dilaporkan mengesahkan terdapat exconya ditahan polis tetapi tidak menjelaskan sebab penahanan itu.

“Ada maklumat seorang exco ditahan polis Bukit Aman. Secara dasar. kerajaan negeri akan berurusan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat punca beliau ditahan.

“Saya yakin, exco berkenaan akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang berkali-kali menafikan mempunyai hubungan dengan LTTE, berkata hanya mempunyai maklumat yang terhad berkaitan penahanan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat juga NGO juga ditahan.

“Ini mungkin sebahagian daripada operasi yang lebih besar,” katanya kepada Malaysiakini.

LTTE ditubuhkan pada 1976 untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.

Kumpulan itu mendakwa dasar-dasar kerajaan Sri Lanka mendiskriminasi golongan Tamil.

Kumpulan itu dilabelkan sebagai pengganas selepas didakwa mencabul hak asasi manusia dan melakukan jenayah perang, termasuk pembersihan etnik.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini