Malaysiakini BERITA

Umno anggap dakwaan NUJ Utusan cuma pandangan peribadi

Haspaizi Zain

Diterbitkan

Umno menganggap dakwaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Bhd mengenai punca akhbar tersebut dihentikan operasinya sebagai pendapat peribadi organisasi tersebut semata-mata.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata pandangan yang dilontarkan oleh NUJ Utusan Melayu itu adalah bersifat peribadi.

"NUJ bukan Utusan, NUJ juga bukan pihak yang membuat konklusi, NUJ adalah pertubuhan luar," katanya.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh itu berkata isu pemberhentian operasi akhbar bersejarah itu hanya boleh diulas oleh pihak pengurusan syarikat terbabit.

"Hanya penguruan Utusan yang berhak untuk mengeluarkan kenyataan, seterusnya lembaga pengarah.

"Kenyataan NUJ hanyalah pandangan peribadi," katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

NUJ cawangan Utusan Melayu semalam menyifatkan nasib malang yang menimpa syarikat itu adalah kesan kegagalan menghalang akhbar tersebut daripada dikuasai Umno pada awal 1960-an.

Malah, pengerusinya, Mohd Taufek Razak, berkata kebergantungan akhbar itu kepada parti politik juga merupakan kesan buruk buat Utusan Melayu.

“Inilah kesan penguasaan parti politik terhadap surat khabar. Utusan Melayu beroperasi sejak 80 tahun dulu bukan berasaskan keuntungan, tetapi berdasarkan hanya kepentingan politik semata.

“Jadi, kita tak boleh untung dan kita dulu hidup dengan ditanggung sepenuhnya oleh Umno.

"Apabila Umno dah tak ada, kita pun tak boleh buat apa-apa," katanya pada sidang media di pejabat syarikat itu.

Penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! dihentikan mulai semalam akibat masalah kewangan yang dihadapi syarikat akhbar itu gagal diatasi. Permit penerbitan akhbar itu juga kini dimiliki syarikat lain, Aurora Mulia Sdn Bhd.

Ia merupakan sebuah yang ada kaitan dengan jutawan, Syed Mokhtar Al-Bukhary. 

Annuar berkata, hidup atau mati akhbar berkenaan kini ditentukan oleh "pihak tertentu" namun beliau tidak menjelaskan siapa yan dimaksudkannya.

"Ada pihak yang nak mematikan dia (Utusan Malaysia), maka dia mati... itu saja.

"Kalau ada pihak yang menghidupkannya, (maka) dia hidup," katanya.

Semalam, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid berkata parti itu tidak dapat membantu Utusan Melayu kerana akaun mereka dibekukan oleh "kerajaan yang zalim".