Zam: Media Spura sengaja beri gambaran buruk mengenai Msia
Media Singapura tidak menyumbang ke arah hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara apabila kerap membuat laporan yang tidak tepat mengenai negara ini, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.
Media Singapura tidak menyumbang ke arah hubungan yang lebih baik antara kedua-dua negara apabila kerap membuat laporan yang tidak tepat mengenai negara ini, kata Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan terbaru media Singapura yang mendakwa berlaku banyak kecurian kereta milik warganegara itu di Johor.
Zainuddin berkata dalam keadaan hubungan negara berjiran ini perlu diperteguhkan lagi, laporan berita yang tidak tepat itu tambah melukakan Malaysia.
"Seharusnya dalam keadaan sekarang media di Singapura sepatutnya menggambarkan keadaan positif yang boleh merapatkan hubungan kedua-dua negara," kata Ahli Parlimen Merbok itu kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dengan Modenas Sdn Bhd dan Authentic Ventures Sdn Bhd, di kampus universiti itu di Sungai Petani hari ini.
Menurutnya, berita tersebut sengaja ditulis bagi memberi gambaran buruk mengenai Johor, yang sering menjadi tumpuan rakyat Singapura membeli-belah.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, media Singapura sepatutnya berhenti daripada menulis berita seumpama itu.
Kemasukan rakyat S'pura
"Sudah banyak kali media negara itu menyiarkan berita seumpama itu tetapi ia gagal menyekat kemasukan ramai rakyat Singapura ke negara ini untuk membeli belah dan melancong, mereka (media Singapura) harus belajar daripada kegagalan itu," katanya.
Zainuddin berkata media Singapura perlu mencontohi media negara ini yang tidak menyiarkan berita yang boleh memburukkan hubungan kedua-dua negara.
Mengenai perjanjian yang ditandangani UiTM dengan dua syarikat berkenaan, Zainuddin berkata ia satu langkah yang baik bagi mempertingkatkan tahap pengetahuan para pelajar dan tenaga akademik universiti itu.
MoU berkenaan membolehkan UiTM membina pakatan dan rangkaian strategik bidang reka bentuk industri dengan Modenas, yang mengeluarkan motosikal dan Authentic Ventures, yang terlibat dalam perisian dan perkakasan komputer bagi sektor industri dan reka cipta barangan automasi.
Pada majlis menandatangani MoU itu, UiTM diwakili Pengarah UiTM Kedah Prof Madya Dr Zaliha Hussin, Modenas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Rashid Din dan Authentic Ventures oleh Pengerusi dan Penasihatnya Tan Sri Dr Shamsudddin Hitam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.