Dalam mengakhiri pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkongsi wawasannya untuk Malaysia untuk tempoh setahun akan datang.

Lim menutup ucapannya, yang berlangsung lebih kurang dua jam, dengan mengingatkan bahawa Malaysia adalah milik semua tanpa mengira umur, kaum, agama, latar belakang atau geografi.

“Dari Perlis hingga ke Sabah, marilah kita bersatu dan berganding bahu, meningkatkan usaha agar hasil dapat dikecapi bersama dengan sikap penyayang dan saling hormat-menghormati.

“Harapan inilah amanah kita...,” kata Lim, yang mengiktiraf pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai mengilhamkan pelbagai inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2020 itu.

“Bersama-samalah kita kukuhkan perpaduan dan integrasi nasional demi membina kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” katanya.

Lim mengulangi bahawa wawasan Kemakmuran Bersama adalah meneruskan kesinambungan Wawasan 2020, yang disulami dengan idea, idealisme, inovasi, pembaharuan institusi dan integriti untuk membentuk Malaysia baru.

“Malaysia Baru yang menawarkan hak mutlak setiap warganegara dengan penjagaan kesihatan sejagat; pendidikan yang berasaskan pengetahuan dan nilai murni; pekerjaan yang bermakna dengan gaji yang setimpal; rumah yang selesa; kebebasan dari monopoli dan pencatutan; maruah diri yang dilengkapi dengan hak asasi dan penghormatan; masyarakat majmuk yang menyanjung prinsip keharmonian, saling bertolak ansur antara kaum dan agama, di mana anak cucu kita akan mendewasa bebas daripada kerisauan sebaliknya dipenuhi dengan harapan dan peluang kejayaan,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, negara telah diberi peluang yang unik untuk memperkenalkan semula negara tercinta ke persada dunia.

“Ini adalah peluang bagi kita untuk membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul, sebuah negara yang berbangga kerana bersih, hijau, selamat dan sejahtera,” katanya.