Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maria Chin cuba ketepi prosiding hina mahkamah oleh bos Naza

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah sedang berusaha membatalkan prosiding undang-undang yang dibuat oleh pengerusi Naza Group SM Faisal SM Nasimuddin.

Maria dikaitkan dengan tuduhan menghina mahkamah susulan komennya mengenai hukuman penjara tujuh hari di mahkamah syariah yang dikenakan terhadap bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Hal ini didedahkan kepada Malaysiakini menerusi satu salinan surat yang dikeluarkan oleh wakil undang-undang PKR, firma guaman Hafiz Zabir dan Rezal, kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan bertarikh hari ini (11 Oktober).

Menurut surat yang ditandatangani oleh peguam Rezal Mazli Abdul Muin, Maria berusaha campur tangan dalam prosiding menghina mahkamah dan mengetepikan prosiding oleh SM Faisal, yang mendakwa Maria telah "menghina mahkamah syariah walaupun dia tidak pernah melakukannya."

Rezal berkata Maria berasa terkilan dengan tindakan tanpa makluman terhadapnya yang dilakukan kepadanya itu.

Ini memandangkan media melaporkan bahawa permohonan menghina SM Faisal didengar pada 18 September lalu dan ditetapkan untuk keputusan pada hari Isnin (14 Oktober), katanya lagi.

Beliau berkata Maria juga dinasihatkan bahawa prosiding menghina yang diusahakan SM Faisal itu hanya lah berdasarkan kenyataan media yang didakwa mengenai keputusan mahkamah syariah dalam kes penjagaan kanak-kanak antara ahli perniagaan itu dan Emilia.

Rezal berkata ulasan selepas keputusan mahkamah syariah bukan sub judis dan permohonan oleh SM Faisal adalah penyalahgunaan proses mahkamah syariah.

Sub judis adalah frasa undang-undang bahasa Latin bermaksud perkara yang masih didengar oleh mahkamah dilarang daripada dibincangkan secara terbuka di tempat lain.

Rezal berkata firma guamannya baru dilantik untuk mewakili Maria, oleh itu mereka telah diarahkan oleh MP Petaling Jaya itu untuk memohon penangguhan keputusan mahkamah syariah pada hari Isnin ini, sehingga dia dibenarkan untuk campur tangan dalam prosiding menghina mahkamah itu.

Pada 5 September lalu, Free Malaysia Today melaporkan SM Faisal telah mengarahkan peguam Akberdin Abdul Kader untuk memulakan prosiding menghina terhadap Maria selepas mengkritik keputusan mahkamah syariah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada Emilia.

Akberdin Abdul Kader dipetik berkata ulasan yang dibuat Maria menunjukkan ketidaktahuannya mengenai fakta kes itu.

Menurut Akberdin, anak guamnya merasakan anggota parlimen itu telah "menghina mahkamah syariah".

"Dia tidak pernah berunding dengan pihak lain sebelum membuat kenyataan keras itu," katanya.

Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 September lalu telah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman tersebut selepas wanita berkenaan memohon rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu - iaitu pada 6 dan 7 Oktober 2018 kerana menghadiri majlis agama di Baling.

Faisal dan Emilia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Mac 2016.

Akberdin mendakwa walaupun Faisal diberikan hak lawatan pada Julai tahun lepas, dia tidak dibenarkan membawa keluar anak-anak mereka dari rumah Emilia.

"Dia sepatutnya dapat mengambil anak-anaknya itu pada hari Jumaat dan mengembalikan mereka pada hari Ahad. Tetapi tidak pernah dibenarkan berbuat demikian, tidak pernah sekalipun, walau sekali untuk bermalam apa lagi beberapa jam pada siang hari," katanya sambil menjelaskan hukuman penjara menunjukkan mahkamah serius mengenai keperluan untuk konsensus terhadap perintah mahkamah.

Emilia melalui peguamnya telah menafikan dakwaan Faisal mengenai hak lawatan itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS