Misi Keamanan ke Afghanistan dan Pakistan
Badan Gabungan Misi Keamanan Sejagat akan menghantar satu delegasi ke sempadan Afghanistan dan Pakistan dalam tempoh dua minggu lagi bagi memantau keadaan dan keperluan di kem pelarian di sana.
Delegasi itu akan disertai oleh empat orang wakil badan badan berkenaan yang mewakili 27 badan bukan kerajaan (NGO), kata setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Shahran Kasim hari ini.
Delegasi itu akan diketuai oleh Khairil Anuar Khalid daripada pertubuhan Malaysia Sociological Research Institute (MSRI).
Ketika dihubungi malaysiakini, Shahran berkata, delegasi tersebut turut disertai wakil daripada ABIM dan Malaysian Medical Relief Society (MERCY).
"Tujuan delegasi itu adalah untuk membuat tinjauan logistik bagi penghantaran bantuan yang akan disalurkan oleh Tabung Keamanan Sejagat nanti. Ia juga untuk mengenal pasti keadaan anak-anak yatim dan ibu tunggal yang memerlukan bantuan," jelasnya.
Tabung bantuan
Tabung itu ditubuhkan bagi membantu pelarian Afghanistan, terutama golongan kanak-kanak dan wanita yang kini berlindung di sempadan Pakistan.
Sehingga kini, tabung bantuan yang dilancarkan Rabu lalu itu telah mengutip RM150,600.
"Kita juga secara berterusan menerima bantuan dalam bentuk pakaian tebal dan kain daripada orang ramai," katanya.
Menurut Shahran lagi, badan itu juga memgumumkan penubuhan jawatankuasa kerja yang dipengerusi oleh presiden ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman, hari ini.
"Jawatankuasa itu disertai oleh wakil semua pertubuhan dalam badan ini," katanya.
Tambahan anggota
Katanya, dua pertubuhan lagi diterima sebagai anggota baru badan itu, iaitu International Moverment For A Just World (JUST) dan Regional Islamic Da'wah Council of Southeast Asia & Pacific (RISEAP).
Antara pertubuhan yang sudah menganggotai badan berkenaan ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Institut Masyarakat Madani (IMAD), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Malaysian Relief International (MRI), Society Christian Reflection dan beberapa persatuan pelajar Islam seluruh negara.
Minggu lalu, badan gabungan itu telah menghantar memorandum "Misi Keamanan Sejagat" ke kedutaan Amerika Syarikat sebagai membantah sebarang tindakan ketenteraan yang oleh negara itu ke atas Afghanistan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.