Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuti bersalin 90 hari: Majikan harap diberi pilihan - MEF

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap supaya majikan diberikan pilihan bagi cuti bersalin yang dilanjutkan kepada 90 hari seperti yang diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2020, semalam.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata beliau mengharapkan kerajaan dapat membantu majikan dalam bentuk kewangan untuk melaksanakannya, memandangkan kos bagi cuti bersalin 60 hari sedia ada sudah ditanggung oleh majikan.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan bentuk bantuan tersebut.

“Jadi, mungkin boleh lihat alternatif, tidak menjadikannya mandatori. 

"Cuti tambahan yang melebihi 60 hari boleh diletakkan atas budi bicara yang mana terserah kepada syarikat tersebut atau pekerja sama ada mereka mahukan (cuti bersalin) sehingga 90 hari atau tidak.

“Dan jika kerajaan tidak mampu menampung kos tambahan tersebut, maka kemungkinan kerajaan perlu fikirkan cara lain dengan menggunakan cuti tidak berbayar atau menggunakan cuti tahunan mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan tempoh cuti bersalin dipanjangkan dari 60 hari ke 90 hari mulai 2021.

Shamsuddin berkata, pengumuman itu bukan sahaja membuatkan majikan berkira-kira dalam mengambil wanita untuk berkerja tetapi membantutkan usaha kerajaan untuk menarik kaum wanita kembali ke sektor pekerjaan.

“Di Malaysia, (cuti bersalin) 60 hari (seperti sedia ada) telah dibayar oleh majikan dan tentunya turut sama bagi tambahan cuti 30 hari ini.

“Jadi, situasi seperti itu, tentunya akan menjadi kebimbangan. Sebab itu kita (majikan) perlu membantu majikan dalam mengurangkan beban kos tersebut.

“Memandangkan ia akan dilaksanakan pada 2021, saya rasa ada masa dan ruang yang cukup untuk pemegang taruh membincangkan perkara ini secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pandangan Shamsuddin tersebut, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon pengumuman 90 hari cuti bersalin itu tidak harus menjadi halangan buat majikan mengambil wanita bekerja.

Ini katanya kerana seseorang ibu yang baru melahirkan bayi memerlukan masa untuk menjaga bayi tersebut serta mencari pusat penjagaan yang boleh menjamin keselamatan anak mereka.

Sambil membuat perbandingan dengan syarikat yang pernah ditemuinya, Solomon berkata terdapat syarikat swasta yang telah melaksanakan cuti bersalin 90 hari atau lebih daripada itu.

“Kita kena faham bahawa kita perlu beri masa untuk ibu bersama dengan bayi. 60 hari memang tak cukup kerana mereka harus menyusukan anak dan sebagainya.

“Dan dalam keadaan sekarang, selalunya ibu dan bapa pergi kerja kerana tak mampu tampung kos sara hidup yang tinggi. Bukan macam zaman 30 tahun, 40 tahun dulu.

“Bila ibu balik kerja mereka memang tak ada masa dengan bayi mereka, (jika dibandingkan) seperti zaman dulu. Kita pun kena pastikan yang ibu itu dapat cari pusat jagaan atau mereka perlu masa cari orang yang sesuai untuk jaga dan beri jaminan anak mereka itu dijaga dengan baik. Itu satu stress untuk ibu,” katanya.  

Lihat Komen
ADS