Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM beritahu kabinet serah polis siasat isu LTTE - Sumber

Kabinet pada mesyuarat mingguannya Jumaat lepas telah membincangkan penahanan dua Adun DAP kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata sumber.

Sumber berkata, menteri kabinet khususnya dari DAP menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ke atas pemimpin mereka.

"Ya, kami telah bincang dan beberapa menteri menyuarakan rasa tidak puas hati mereka," kata sumber itu dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Sumber lain berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata mereka menyerahkan kepada polis untuk menyiasat perkara itu.

"Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri hanya mendengar dan kata biarkan polis jalankan siasatan.

"Muhyiddin kata, beliau tidak tahu tentang penangkapan (kedua-dua Adun) itu," kata sumber lain.

Mesyuarat kabinet itu diadakan untuk membincangkan mengenai Bajet 2020 sebelum dibentangkan di Parlimen pada hari yang sama, menurut sumber.

"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk membincangkan mengenai perkara itu, jadi kita akan bincang lagi (dalam mesyuarat kabinet akan datang)," menurut sumber itu.

Selain mesyuarat kabinet, sumber itu juga mengesahkan isu itu dibangkitkan dalam perbincangan tidak rasmi Pakatan Harapan (PH) seperti yang dinyatakan Ketua Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah.

Saifuddin dilapor berkata isu itu telah dibincangkan secara tidak rasmi kelmarin dan pada masa itu, tiada keputusan dibuat.

Khamis lepas, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman  Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan kedua-dua wakil rakyat DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran adalah antara tujuh individu yang didakwa terlibat dengan LTTE, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.

Lima lagi ditahan semalam menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai 12 orang.

Semalam, Muhyiddin berkata polis mempunyai bukti kukuh untuk menjalankan siasatan terhadap LTTE berdasarkan risikan dalam jangka masa yang panjang sebelum ini.

Lihat Komen
ADS