Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambak laut: Beri perhatian persepsi kawasan Melayu di P Pinang dihakis - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau telah memberitahu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow agar memberi perhatian terhadap persepsi kawasan Melayu kain terhakis ekoran projek penambakan laut kontroversi di negeri itu.

Beliau juga menafikan pandangan dan pendiriannya tidak konsisten berkenaan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), yang dibantah NGO dan kumpulan nelayan.

"Saya ada kata kepada ketua menteri untuk pertimbang kerisauan yang disuarakan dan kerisauan yang lebih besar, melangkaui yang disuarakan nelayan, ialah persepsi bahawa dengan projek ini, seluruh kawasan Melayu di pulau sedang dihakis.

"Di mana yang tidak konsisten? Saya tak pernah kata setuju atau tak setuju. Saya kata ini adalah kebimbangan yang telah disuarakan.

"Saya bukan saja katakan perkara ini di depan nelayan dan pemimpin negeri, tetapi juga kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau diminta menjelaskan pendirian PKR berkenaan projek penambakan itu, yang melibatkan tiga pulau tiruan di selatan pulau.

Ini kerana ada tanggapan bahawa pandangannya "tidak konsisten dan bergantung dengan pihak mana yang bercakap dengannya".

Pada Julai lalu, Anwar bertemu dengan nelayan di Bayan Lepas dan menyampaikan kebimbangan mereka kepada kerajaan negeri.

Chow kemudian berkata beliau akan menimbang untuk mengecilkan skala projek itu jika kerajaan negeri menerima peruntukan daripada persekutuan.

30 peratus daripada projek itu, yang melibatkan pembangunan di pulau, akan dijual untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion - merangkumi sistem transit aliran ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas.

Sementara itu, Anwar menegaskan pandangannya dalam isu itu adalah konsisten, dan berkata tidak adil untuk memintanya menolak projek itu dengan begitu sahaja di saat ada sebab munasabah mengapa kerajaan ingin meneruskannya.

"Meskipun begitu, bagi saya, persepsinya ialah jika kita tidak kendalikan isu ini dengan betul, akan ada tindak balas serius kerana masyarakat melihatnya sebagai benteng orang Melayu (dan) segmen miskin dalam masyarakat.

“Jadi jika kita nak teruskan, anda perlu rangka pelan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk pembangunan semula kawasan itu, yang mana saya tak nampak (rancangan itu).

"Saya jelas tentangnya, secara ekonomi, dari segi aspek warisan, ia bukanlah melangkaui apa yang mampu dilakukan kerajaan negeri atau persekutuan," katanya lagi.

Tetapi Anwar mengakui pandangannya bukan penolakan terus terhadap projek itu, dan berkata ini kerana PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang.

Beliau ingin terus menyokong kerajaan negeri dan pada masa sama merundingkan perkata itu dengan ketua menteri.

Katanya, Chow telah berjumpa dengannya dan setuju untuk melihat sebahagian perkara yang dibangkitkan NGO dan nelayan.

"Lebih baik bangunkan Bayan Lepas dan Gertak Sanggul yang diduduki masyarakat Cina terlebih dulu, sebelum projek penambakan ini dijalankan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS