Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kepala dua beranak atas siling, jiran tak bau busuk
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 2:50 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Bahagian kepala dua beranak yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Melaka Khamis lalu, ditemui disorok di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam.

Harian Metro memetik sumber melaporkan, kepala wanita dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu ditemui sepasukan polis di rumah mangsa di kira-kira jam 8 malam, Jumaat lalu.

“Kedua-dua bahagian kepala mangsa ditemukan di atas loteng rumah dua tingkat yang didiami mangsa bersama suaminya.

“Keluarga mangsa juga hadir ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, malam kelmarin (Sabtu), untuk pengesahan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ketua Polis Melaka Mat Kasim Karim tidak dapat mendedahkan penemuan anggota badan terbaru iaitu kepala mangsa yang dikhuatiri mengganggu siasatan.

Beliau sebaliknya memberitahu, usaha pencarian bahagian pergelangan tangan juga masih dilakukan setelah difahamkan bahagian itu dibuang ke tong sampah.

“Ia difahamkan dibuang ke dalam tong dan kemudiannya diangkut oleh pihak ditugaskan untuk dibuang selain sudah lama,” katanya.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak terhidu bau mencurigakan meskipun dilaporkan mangsa telah dibunuh sejak lebih lima hari sebelum bahagian anggota badannya ditemui.

“Saya terkejutlah tengok laporan ada yang kata kepala jumpa dalam rumah kerana tiada apa-apa bau yang pelik.

“Tong sampah pun polis dah angkat sebab saya dengar-dengar dia ada juga buang sikit (anggota badan) dalam tong itu,” katanya yang menyifatkan keluarga berkenaan sebagai keluarga penyayang.

Media minggu lalu melaporkan mayat dua beranak itu ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian.

Wanita dan anak lelakinya itu dibunuh di rumahnya dan dicampakkan ke kawasan semak Kampung Ladang, Krubong sebelum ditemui pemotong rumput.

Sabtu lalu, polis berjaya menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa bagi membantu siasatan.

Lihat Komen
ADS