Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembelaan PM terhadap penggunaan Sosma pahit untuk ditelan'
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 9:36 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Pemimpin DAP P Ramasamy mendapati pembelaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam penangkapan sejumlah individu yang disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebagai pahit untuk ditelan.

Beliau berkata ini kerana Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji untuk memansuhkan akta itu - serta beberapa lagi akta yang dianggap zalim - dalam manifesto PRU ke-14 gabungan itu.

"Saya mendapati kenyatan perdana menteri sukar diterima.

"Pada PRU lalu, PH melawan BN bermati-matian berdasarkan manifesto kami yang antara lain berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu, beliau tidak mempersoalkan siasatan polis terhadap perkara itu tetapi berpandangan tangkapan boleh dibuat mengikut Kanun Keseksaan.

"Saya yakin suspek boleh ditahan di bawah Kanun Keseksaan. Polis mendakwa ada bukti yang cukup. Jadi dakwa suspek di mahkamah dan benarkan mereka mendapat perwakilan undang-undang.

"Penggunaan Sosma boleh dianggap sebagai jalan mudah oleh polis," katanya lagi.

Beliau turut berkata Mahathir sendiri pernah mengkritik Sosma - yang membolehkan suspek ditahan tanpa bicara selama 28 hari - apabila bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang ditahan di bawah akta itu pada 2015.

"Ketika itu Mahathir sendiri kata dia mahu mansuh Sosma."

Khairuddin ialah penyokong kuat Mahathir manakala Chang pernah menjadi pembantunya ketika beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Mereka ditahan atas dakwaan melakukan sabotaj ekonomi selepas membuat sejumlah laporan terhadap skandal 1MDB.

Ramasamy mengulas kenyataan Mahathir hari ini bahawa polis tiada pilihan selain menggunakan Sosma berikutan tiada undang-undang lain.

Mahathir juga berkata berpuas hati dengan penjelasan polis berhubung tindakan mereka dalam siasatan itu.

Sejak minggu lalu, Unit Anti Keganasan Bukit Aman menahan 12 individu, termasuk dua adun DAP G Saminathan dan P Gunasekaran.

Mereka yang ditahan didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan yang telah 'mati' sejak 2009, yang membawa kepada tamatnya perang saudara berpanjangan di Sri lanka.

Menurut polis, salah seorang suspek - seorang ejen insurans - didakwa merancang melakukan serangan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS