Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES 1MDB NAJIB | Pasukan pembelaan Najib Razak dijangka menunjukkan transkrip pesanan teksnya dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kepada mahkamah.

Menurut ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, dokuem itu akan menunjukkan Shahrol ada akses terhadap bekas perdana menteri.

"Dia berhubung secara pesanan teks dengan najib. Semua CEO dalam MOF Inc (Minister of Finance Incorporated), syarikat-syarikat besar, semuanya boleh berhubung dengan pesanan teks (dengan Najib).

"Dia mengarut apa (apabila membayangkan) dia tak boleh jumpanya (Najib), hanya Jho Low kenal Najib.

"Anak guam saya akan menunjukkan pesanan yang mereka hantar kepada satu sama lain," katanya kepada Malaysiakini selepas perbicaraan ditangguh petang tadi.

Ketika pemeriksaan balas hari ini, Shafee cuba menunjukkan Shahrol menganggap arahan Jho Low sebagai arahan dari Najib, tanpa pernah mengesahkannya dengan bekas perdana menteri itu.

Shahrol juga dalam keterangannya pernah mengatakan dia tiada akses kepada Najib ketika menjadi CEO 1MDB antara 2009 hingga 2013.

Justeru dia menganggap arahan Jho Low adalah daripada Najib, dan berkata dia yakin tentang perkara itu kerana Najib tidak pernah bercanggah dengan Jho Low.

Ia termasuklah arahan untuk mengehadkan perkongsian maklumat berkenaan 1MDB kepada pihak ketiga pada 2010, yang Low dikatakan memberitahu Shahrol arahan itu daripada Najib.

Shafee: Anda pada satu peringkat, malah di peringkat yang agak awal, anda berhubung secara menghantar mesej dengan PM (on messaging mode with PM). Sekarang pun, nombor anda ada dalam telefonnya. Benar?

Shahrol: Saya hantar mesej kepadanya mungkin setahun sekali.

Shafee: Untuk ucap selamat Hari Raya?

Shahrol: (Untuk ucap) Selamat hari jadi.

Shafee: Ahaa...

Shahrol: Dan ketika pilihan raya...Ketika 1MDB, saya tak ingat ada hantar mesej yang signifikan kepadanya. Mungkin sekali dua.

Shafee: Anda fikir kami boleh dapatkan kembali mesej itu?

Shahrol: Buatlah. Mesej-mesej itu tiada apa-apa (they're completely innocent).

Lihat Komen
ADS