Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbicaraan kes cemar Sungai Kim Kim ditangguh ke Disember
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 12:15 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Perbicaraan kes seorang pemandu lori dan tiga pengarah syarikat yang didakwa melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Mac lepas, yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke Disember.

Hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menetapkan tarikh baharu iaitu 3, 4 dan 5 Dis ini untuk perbicaraan kes keempat-empat Orang Kena Saman (OKS) iaitu pemandu lori, N Maridass, 35, dan tiga pengarah syarikat, Wang Jing Chao, 34, Yap Yoke Liang, 36, dan Sim Wei Der, 50.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas peguam Hussein Othman, memohon perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini dan esok itu ditangguh berikutan tiga lagi peguam yang mewakili kesemua OKS perlu menghadiri perbicaraan lain di Mahkamah Tinggi.

Tiada bantahan dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar Putrajaya Farra Nor Azura Jumuddin.

Hakim bagaimanapun melahirkan kekecewaan atas ketidakhadiran peguam bela dan OKS memandangkan kesukaran menetapkan tarikh perbicaraan hari ini mengikut kesesuaian semua pihak.

Pada 24 Mac lepas, Maridass didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melupuskan buangan terjadual tersebut ke dalam Sungai Kim Kim dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit. Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Wang dan Yap pula didakwa pada hari sama atas tuduhan bersuhabat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Pada 25 April, Sim yang merupakan warga Singapura pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Maridass, Yap dan wang untuk melupuskan buangan terjadual itu ke Sungai Kim Kim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS