Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Di bawah PH, Kelantan akhirnya terima bayaran secara terus'
Diterbitkan:  Oct 16, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan akhirnya menerima secara terus wang ehsan yang sebelum ini disalurkan menerusi entiti persekutuan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Justeru, kata Lim, beliau hairan mengapa kerajaan Kelantan menganggap kerajaan persekutuan sebagai "musuh ketat".

Beliau berkata bayaran dibuat dalam bentuk wang ehsan bagi mengelak daripada terperangkap dengan kemelut perundangan.

"Namun perkiraannya adalah berasaskan lima peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada kerajaan Kelantan...Menteri Besar Ahmad Yakob telah mengesahkan bayaran wang ehsan disalurkan kepada kerajaan negeri sebanyak RM15.75 pada 18 September 2019.

“Sukar difahami bagaimana kerajaan Kelantan hari ini menganggap pihak yang sebelum ini tidak menyalurkan wang ehsan kepada kerajaan negeri (secara terus) sebagai rakan setia, tetapi kerajaan persekutuan yang menyalurkannya secara langsung kepada kerajaan negeri dianggap sebagai musuh ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ia berbeza dengan sebelum ini apabila wang itu diberikan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dan sebuah entiti kerajaan persekutuan secara 50:50.

Hari ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan Kelantan pada tahun ini telah menerima wang ehsan sebanyak tiga kali berjumlah RM28 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Mohd Amar Nik Abdullah

Mohd Amar berkata, ia merupakan kali pertama wang ehsan itu disalurkan terus kepada kerajaan negeri sejak diperkenalkan pada 2010.

Selepas PH mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei 2018, kata Lim, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk membuat bayaran wang ehsan kepada Kelantan secara terus kepada kerajaan negeri itu.

“Maka buat pertama kalinya mulai tahun 2019, kerajaan persekutuan telah menyalurkan bayaran wang ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan dengan bayaran terkini pada bulan September 2019.

“Bayaran wang ihsan juga telah diawalkan kepada bulan September 2019, sedangkan pembayaran dijadualkan pada Januari 2020.

Katanya lagi, soal itu juga di bawah bidang kuasa perdana menteri dan beliau hanya menurut arahan yang diberikan.

"Adalah dikesali pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan," katanya lagi.

Sementara itu, Lim berkata pegawai kewangan Kelantan pada 12 September lalu telah sekali lagi memohon bantuan persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan bagi belanja operasi seperti gaji kakitangan dan emolumen.

Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan sebanyak RM100 juta itu pada 14 Oktober, katanya.

“Pada 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota kerajaan negeri Kelantan juga telah diluluskan,” katanya. 

Lihat Komen
ADS