Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menyifatkan undian populariti Timbalan Presiden MIC menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai taktik murahan dan bangkrap.

"Ujian sebenar kekuatan dan populariti bagi pemimpin, akan datang daripada anggota parti dan perwakilan."

"Hanya yang tidak memperolehi populariti menerusi perkhidmatan dan dedikasi mereka kepada rakyat akan mencari jalan pintas kepada usaha meraih populariti menerusi SMS, melalui parasit mereka," katanya hari ini.

Samy Vellu berkata hanya pemimpin yang kurang pengaruh, kredibiliti dan kekuatan dalam masyarakat India dan parti akan cuba mengukur sokongan atau populariti menerusi undi SMS.

Beliau ditanya mengenai undi SMS oleh Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia (PPRM) dan majalah Nayagan Bimonthly yang dikatakan mengukur populariti penyandang timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam (bawah-kanan) dan pencabarnya terdekatnya, Datuk G.Palanivel (bawah-kiri) bagi jawatan nombor dua parti itu.

Menurut laporan Bernama, Menteri Kerja Raya itu berkata calon-calon bagi pemilihan MIC 24 Jun ini nanti akan "faham tidak lama lagi, bahawa mereka hanya boleh mendapat kedudukan dalam MIC menerusi kerja keras dan proses demokratik, dan bukannya menerusi cara yang murah dan bankrap".

"Saya punyai keyakinan terhadap kebijaksanaan perwakilan MIC. Mereka juga cukup bijak untuk membuat keputusan," kata Samy Vellu.

Presiden PPRM P. Gunaseelan berkata undi - `Siapa calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden MIC', akan menyaksikan orang ramai mengundi sama ada memihak Subramaniam atau Palanivel.

Palanivel, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, merupakan calon pilihan Samy Vellu bagi jawatan timbalan presiden itu.

Gunaseelan juga mendakwa bahawa PPRM tidak mempunyai sebarang agenda peribadi dalam mengendalikan undi itu.