Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: Beri PH masa 5 tahun, jika tiada perubahan boleh tukar
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Rakyat mempunyai hak untuk menukar kerajaan, namun beri ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membuktikan kebolehannya terlebih dahulu, kata bekas veteran Umno Rafidah Aziz.

“Anda ingat senang mentadbir seperti mana tukar baju sahaja. Tolonglah, berikanlah masa lima tahun, jika selepas lima tahun tidak ada sebarang perubahan yang dilihat, anda berhak buat perubahan,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Rafidah berkata demikian bagi menjawab pihak yang sering menuduh kerajaan tidak menepati manifesto pilihan raya dan sering membuat ‘pusingan-U’ dalam sesuatu keputusan.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut menegaskan, prestasi kerajaan PH tidak wajar diukur dalam tempoh yang singkat.

“Tolong beri mereka masa. Ada di antara kita yang hanya duduk dan mengkritik, tengok dan lihat cuba buat kerja itu dulu,” katanya.

Beliau menambah bahawa kerajaan kini perlu berdepan dengan pelbagai masalah.

“Kami berada dalam situasi di mana masih belum menghabiskan sepenggal tetapi perlu berdepan dengan pelbagai masalah luaran dan dalaman.

“Di negara ini, semua orang mahu jadi ketua tetapi kita mahukan orang yang mengambil alih meletakkan kepentingan kerajaan,” katanya.

Rafidah turut menjelaskan bahawa manifesto PH dibuat setebal 200 muka surat kerana tidak jangka akan menang.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini mengakui kerajaan kini menjadi mangsa kepada manifesto mereka sendiri.

“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap.

“Tapi sekarang kami jadi kerajaan, kami jadi mangsa kepada manifesto kami sendiri,” katanya.

Beliau mengambil contoh proses pemansuhan beberapa undang-undang drakonian.

"Kerajaan baru mahu pembaharuan undang-undang. Sudah tentu, kita menyedari beberapa undang-undang di negara ini adalah undang-undang drakonian. Kami mahu memansuhkan dan aplikasikan undang-undang baru.

"Ini tidak semudah yang difikir sewaktu menjadi pembangkang. Kami kira, apabila menjadi kerajaan, kita dapat buang semua undang-undang ini. Malangnya, ada prosedur yang terpaksa dilalui.

"Oleh kerana kita juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga, kita tersekat dengan undang-undang lama. Sudah tentu rakyat tidak sabar. Mereka mahu lihat undang-undang itu dihentikan. Ini agak mustahil.

“Dan kini, kerajaan dikritik kerana tidak menepati janji, ia senang untuk membuat janji berkempen namun sukar dilaksana jika menang,” kata Mahathir.

Lihat Komen
ADS