Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Isa Samad: Saksi nafi beri keterangan atas desakan SPRM

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil menolak tanggapan yang mengatakan bahawa keterangan yang diberikannya dalam kes melibatkan bekas pengerusi Felda Isa Samad adalah atas desakan.

Mohd Zaid, 45, juga menolak tanggapan yang mengatakan dia membuat perjanjian dengan SPRM dalam kes itu agar tidak disabitkan kesalahan berhubung pembelian hotel Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh FIC.

Mohd Zaid berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Salehuddin Saidin dalam kes membabitkan Isa yang didakwa menyalah gunakan kuasa dan rasuah melibatkan RM3 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Salehuddin: Adakah kamu dijanjikan SPRM, sekiranya kamu kerjasama SPRM, kamu tidak dituduh di mahkamah?

Mohd Zaid: Tidak setuju.

Salehuddin: Adakah kamu setuju semua keterangan diberi atas desakan dan janji kamu tidak disabit?

Mohd Zaid: Tidak setuju.

Salehuddin: Andai kamu tidak bekerjasama, kamu akan dituduh?

Mohd Zaid: Tidak setuju.

Salehuddin: Adakah SPRM bersama kamu ketika kamu menyediakan pernyataan keterangan dihadapan timbalan pendakwa raya?

Mohd Zaid: Setuju.

Salehuddin: Apa yang kamu kata dalam pernyataan keterangan atas desakan SPRM?

Mohd Zaid: Tidak setuju

Untuk rekod, Mohd Zaid pernah ditahan SPRM pada 31 Julai 2017 bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh agensi itu di London, dan seterusnya direman tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Bagaimanapun, Mohd Zaid menjelaskan bahawa penahanan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan pembelian hotel oleh FIC di Kuching, Sarawak.

"Saya hanya di soal siasat bagi pembelian hotel di Port Dickson dan London oleh FIC. Lepas itu saya dibebaskan dan dipanggil semula untuk membantu siasatan pembelian hotel di Kuching," jelas Mohd Zaid yang merupakan saksi ke-15 dalam perbicaraan ini.

Sementara itu, Mohd Zaid juga memberitahu bahawa dia juga tidak dibantu oleh SPRM untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya semasa perbicaraan.

"Adakah kamu setuju bahawa kamu bincang dengan SPRM bagi jawab ketika semasa kes dijalankan?" soal Salehuddin.

"Saya tidak setuju," kata Mohd Zaid.

Ketika menjawab soalan tambahan oleh Salehuddin yang menyoal alasan Mohd Zaid memberikan fakta lebih terperinci semasa perbicaraan berbanding pernyataan keterangan olehnya, dia berkata bahawa semasa menyiapkan penyataan keterangan dia hanya jawab soalan ditanya.

"Saya hanya menjawab soalan yang ditanya semasa memberikan pernyataan keterangan. Soalan DPP di perbicaraan lain berbanding semasa mengambil keterangan," tambahnya.

Lihat Komen
ADS