Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan 200gm ganja boleh membawa hukuman mati, manakala menanam enam pokok tumbuhan itu boleh dikenakan penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Perbincangan mengenai hukuman mati terhadap kesalahan mengedar dadah menjadi perbahasan awam susulan beberapa kes melibatkan tertuduh mendakwa menggunakan ganja yang dikategorikan sebagai dadah untuk tujuan perubatan.

Misalnya, kes pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Satu lagi kes yang menjadi tumpuan ialah kes yang melibatkan Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah tinggi dan pada 27 November depan Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan sabitannya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.

Sementara itu, terdapat pertikaian di kalangan komuniti saintis Malaysia mengenai pohon kanabis dan resinnya; Ekstrak kanabis; Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC); Cannabidiol (CBD).

Ada pihak farmasi berpendapat penggunaannya sebagai ubat belum dapat dibuktikan secara kukuh secara saintifik, menyatakan kebimbangan marijuana dipandang biasa dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar seperti rokok.

Sesetengah lagi ahli farmasi pula berpendapat ubatan berasaskan marijuana telah pun wujud dan diiktiraf di banyak negara, menyatakan kekangan undang-undang negara untuk menjalankan penyelidikan bagi pembuktian keberkesanannya.

Di Thailand, pada 3 April lalu polis menyerbu pejabat Pengerusi Yayasan Khaokwan, Daycha Siripatra (gambar, atas) di wilayah Suphanburi, Thailand.

Pihak berkuasa merampas 205 pokok ganja, 20 liter minyak kanabis, 8kg biji benih marijuana dan 500kg serbuk ganja dari yayasannya.

Pembantu Daycha, Pornchai Choolert ditangkap atas tuduhan memiliki dan menanam ganja. Ketika itu Daycha berada di Laos mengendalikan bengkel pertanian organik.

Sekembalinya ke Thailand, beliau ditahan dan bersama pembantunya dikenakan pertuduhan di mahkamah di bawah undang-undang dadah negara itu yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara 12 tahun dan denda.

Ini walaupun, negara jiran itu telah meluluskan pindaan undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja sebagai perubatan pada hujung Disember 2018.

Kes jadi sensasi

Menurut pengarah koperasi petani organik Green Net, Vitoon Panyakul serbuan terhadap Yayasan Khaokwan mencetuskan sokongan para aktivis dan orang ramai khususnya di media sosial kepada Daycha.

"Ia menjadi sensasi, beliau mendapat sokongan ramai dan media melaporkan kes ini dengan meluas," katanya kepada wartawan Malaysiakini ketika ditemui di Bangkok baru-baru ini.

Malah kata Vitoon (gambar, bawah), pemimpin parti politik juga turut menyuarakan sokongan.

Lembaga Kawalan Narkotik Thai (ONCB) dilapor menafikan sebarang motif di sebalik serbuan tersebut, berkata ini kerana yayasan itu tidak mendapat sebarang kebenaran pihak berkuasa untuk memiliki ganja dan membuat ubat daripada tumbuhan itu.

ONCB turut menafikan spekulasi tindakan undang-undang itu bertujuan menekan perusahaan kecil daripada membuat ubat ganja supaya firma farmasi besar dapat mengawal perniagaan yang menguntungkan itu.

Bagaimanapun, Daycha berkata Yayasan Khaokwan yang ditubuhkan pada 1998 sebenarnya bukanlah bertujuan menggalakkan ganja perubatan.

"Ia yayasan yang mempromosikan penanaman padi secara organik.

"Kami juga memelihara benih asli beras Thai," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul turut menyuarakan sokongannya. Ketika pilihan raya umum Thailand pada Mac lalu, parti pimpinan Anutin berkempen supaya para petani dibenarkan untuk menanam pokok ganja bagi menambah pendapatan.

Menteri Kesihatan Awam Thailand Anutin Charnvirakul.

Parti Bhumjaithai berjaya memenangi 51 daripada 500 kerusi parlimen Thai, dan Anutin kini ialah menteri kesihatan awam negara itu.

Pada saat serbuan terhadap Khaokwan Foundation, Anutin menulis hantaran di status Facebooknya membangkitkan motif sebenar di sebalik serbuan terhadap yayasan Daycha.

"Saya sedia untuk menjadi penjamin dan memperjuangkan kes Daycha Siripatra dan Pornchai Chulert," katanya.

Kemudian, pada 14 April lalu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dipetik Thai PBS mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam negara itu dan pihak universiti untuk menyokong Yayasan Khaokwan dalam penyelidikan dan pembangunan minyak ganja bagi tujuan perubatan.

Ketika ditanya wartawan Malaysiakini mengenai motivasinya dalam memperjuangkan ganja untuk perubatan, Daycha berkata ia suatu yang sangat peribadi.

"Ibu saya meninggal dunia 30 tahun dahulu akibat kanser. Kemudian enam orang anggota keluarga saya juga meninggal dunia akibat kanser.

"Sejak itu saya mengadakan kajian sendiri, membaca bagaimana ganja membantu untuk merawat kanser," katanya.

Petua perubatan dari sami Buddha

Jelasnya lagi, hal itu juga telah menemukan dirinya dengan seorang sami Buddha dari Wat Bang Pla Mor di wilayah Suphan Buri yang mengamalkan perubatan tradisional Thai.

"Kata sami itu, ganja sebenarnya selamat digunakan dan kaedah tradisional menggunakan ganja tidak sama dengan perubatan barat. Kami tidak mengasingkan THC dan CBD, kami menggunakannya langsung daripada bunga tumbuhan yang ditanam secara organik.

"Ganja yang diproses dengan minyak kelapa itu membantu pesakit untuk mendapat tidur yang sempurna.

"Ideanya jika seseorang itu mendapat tidur yang sempurna maka tubuh mempunyai mekanisme pemulihannya sendiri," katanya.

Wat Bang Pla Mor juga menjadi klinik tradisional di mana Daycha memberikan minyak ganja yang dihasilkannya secara percuma kepada pesakit.

"Lapan tahun dahulu saya ada masalah penglihatan. Saya juga menghidap alzheimer dan parkinson. Sekarang saya telah pulih.

"Anda tahu, saya seorang tua yang berusia 71 tahun namun setiap hari saya dapat merasakan diri saya semakin sihat," kata Daycha lagi.

Akhirnya, pertuduhan terhadap Daycha dan pembantunya digugurkan mahkamah, manakala Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand memberi kebenaran kepada Daycha untuk memberikan preskripsi minyak ganja.

"Sekarang saya mempunyai 40,000 orang pesakit yang berdaftar dengan yayasan saya.

"Dan jumlahnya semakin meningkat dan saya kini terpaksa merujuk para pesakit itu kepada hospital kerajaan," katanya.

Yayasan Khaokwan juga telah memulakan kerjasama penyelidikan dengan Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn di Bangkok.

‘Bukan untuk hisap tepi jalan’

Pada 14 September lalu, MP kanan daripada Parti Bhumjaithai, parti ketiga terbesar dalam kerajaan gabungan pimpinan perdana menteri Prayuth berkata akan membentangkan rang undang-undang untuk membenarkan enam pokok ganja di tanam di setiap rumah bagi tujuan perubatan.

"Prinsipnya untuk tujuan perubatan. Anda boleh menanamnya di rumah tetapi bukan untuk dihisap di jalanan," kata Supachai Jaisamut, lapor Reuters.

Antara kebimbangan mengenai cadangan RUU itu adalah berkaitan sifat tumbuhan tersebut yang sensitif dan boleh menyerap toksik serta logam berat.

Orang ramai juga dikhuatiri tidak dapat menanam dan memproses tanaman tersebut dengan baik kerana ketiadaan fasiliti.

Bagaimanapun, pengarang buku Ganja Sebagai Ubat Rawatan Kanser, Dr Somyot Kittimunkong (gambar, atas) memberitahu wartawan Malaysiakini jawapannya terletak pada teknologi ekstraksi.

"Teknologi ekstraksi sudah terlalu maju. Apa yang diperlukan daripada tumbuhan itu cuma bahan kimia CBD, THC.

"Bahan lain yang tidak diperlukan boleh dibuang.

"Apa yang diperlukan adalah penubuhan suatu pusat pengumpulan ganja untuk ekstraksi di setiap daerah.

"Jadi petani boleh menghantar hasil tuaian ke pusat pemprosesan itu," jelasnya yang baru bersara daripada Kementerian Kesihatan Awam Thailand selepas berkhidmat lebih 30 tahun.

Sementara itu, Vitoon Panyakul yang juga pakar pertanian memberitahu Malaysiakini, beliau baru saja menyiapkan buku panduan menanam ganja secara organik untuk FDA Thailand.

"Pihak FDA minta saya tulis manual ini.

"Ia daripada memilih benih sehinggalah kepada menuai hasilnya," katanya.

Vitoon juga ialah individu yang bertanggungjawab mengadakan latihan pertanian organik untuk ladang herba Hospital Chaophraya Abhaibhubejhr di Prachin Buri.


Bahagian 1: Kenali 'doktor ganja' di hospital herba Thai

Bahagian 2: Menyemai ganja di hospital Thailand

Lihat Komen
ADS