BERITA

Pendengaran lucut harta BN Johor Bahru 5 Feb 2020

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Okt 2019, 7:33 pagi

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 5 Feb depan bagi mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Allan Suman Pillai dan peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili BN Bahagian Johor Bahru.

Hakim Mohd Nazlan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis pada atau sebelum 28 Januari depan.

Pada 27 Sept lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

- Bernama

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.