Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Anggota polis benarkan penyeludupan dikenal pasti

Bukit Aman sudah mengenal pasti beberapa anggotanya yang dirakam dalam klip video membenarkan penyeludup memindahkan barang seludup di sempadan Thailand-Malaysia, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid memberitahu Malaysiakini bahawa Jabatan Integriti dan Standard (JIPS) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) telah melancarkan siasatan ke atas klip video itu sejak mereka menerimanya lewat bulan lepas.

Menurut Hamid, Bukit Aman sedang mengambil tindakan tatatertib ke atas anggota yang terlibat.

"Ya (kami telah memulakan siasatan). Pihak JIPS dan KDNKA Bukit Aman sudah pun menjalankan siasatan sejak lewat bulan lepas.

"Beberapa orang anggota polis yang terpapar sudah dikenal pasti. Tindakan tatatertib sedang dirangka," katanya.

Menurut Hamid, polis juga sudah memperkenalkan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota yang bertugas mengawal sempadan dan pintu masuk di seluruh negara.

Abdul Hamid menambah bahawa dengan SOP terbaru itu, beliau yakin kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan secara drastik.

Beliau juga menyatakan bahawa Pasukan Gerakan Am (PGA) polis, yang ditempatkan di sempadan negara, juga berjaya mencapai kejayaan besar dalam mensasarkan sindiket penyeludupan.

Ini termasuk menangkap penyeludup, termasuk mereka yang cuba menyogok kakitangan, dan merampas sejumlah barangan haram, termasuk senjata api, dadah, dan haiwan eksotik.

"Sejak 4, 5 bulan lepas pihak PGA di sempadan telah mencatatkan banyak kejayaan menumpaskan sindiket seludup pelbagai kontraban, rokok, arak, dadah, haiwan eksotik, senjata api, pendatang tanpa izin serta menangkap penyeludup yang cuba menyogok dengan wang ringgit.

"Kesedaran mereka untuk bertugas dengan penuh integriti semakin terserlah. Dengan keluarnya arahan-arahan pentadbiran terbaru tentang SOP penugasan maka saya yakin kes-kes pembolosan di sempadan akan berkurangan secara drastik," katanya sambil menambah bahawa polis sentiasa bekerjasama dengan SPRM dan Majlis Keselamatan Negara.

Awal hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbar mendedahkan bahawa mereka telah menerima maklumat mengenai dakwaan rasuah di sempadan Thai-Malaysia, termasuk klip video yang menunjukkan anggota polis yang membenarkan penyeludup membawa barangan seludup mereka.

Lihat Komen
ADS