Kehadiran diktator yang pemurah penyelesaian sementara di Iraq
Kehadiran diktator yang bersifat pemurah dapat mengawal rakyat Iraq daripada terus menyumbang kepada ketidakstabilan yang kini melemahkan pembangunan ekonomi negara itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kehadiran diktator yang bersifat pemurah dapat mengawal rakyat Iraq daripada terus menyumbang kepada ketidakstabilan yang kini melemahkan pembangunan ekonomi negara itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkata, ia adalah penyelesaian kepada usaha mengekalkan kestabilan di Iraq untuk sementara waktu selepas demokrasi menampakkan kegagalan.
"Mungkin satu `tangan yang kuat' diperlukan untuk menghentikan orang ramai daripada menjadi ganas. Jika orang ramai dibenarkan berbuat sesuka hati, negara akan menjadi huru-hara. Rakyat akan bertempur sesama sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Kestabilan politik yang berterusan menjadi kunci faktor kejayaan dalam Pembangunan Malaysia" dalam siri perbincangan perdana di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata, rakyat Iraq tidak faham apa erti sebenar demokrasi semasa mereka diminta supaya menjadi demokratik.
"Akibatnya kehidupan mereka menjadi lebih buruk di bawah demokrasi daripada di bawah pentadbiran diktator yang pemurah," kata Dr Mahathir sambil menambah, lebih ramai rakyat dibunuh dalam tempoh demokrasi berbanding tempoh sebelumnya.
'Kebebasan sepenuhnya'
Menurutnya, demokrasi adalah baik, namun orang ramai perlu belajar bagaimana menjadikan demokrasi berkesan kerana hadnya tetap ada, dan orang ramai sememangnya tidak boleh menikmati kebebasan sepenuhnya tanpa menghiraukan orang lain.
Dalam ucaptamanya itu, Dr Mahathir berkata perkongsian dan pengorbanan yang dibuat oleh semua etnik di Malaysia, menyumbang kepada kestabilan berterusan dalam negara.
Katanya orang Melayu contohnya sudah berhenti memanggil negara dengan nama Tanah Melayu, mengorbankan tulisan Jawi sebagai bahasa penulisan utama supaya yang lain-lainnya dapat membaca huruf Roman dan berkongsi negara dengan pelbagai kaum.
"Kaum-kaum lain juga sanggup membuat pengorbanan dengan memahami bahawa bukan semua 100 peratus tuntutan boleh dipenuhi, dan berkongsi perolehan ekonomi negara," katanya.
Siri perbincangan perdana selama sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.