Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai APMM maut akibat Zika ketika fasa akhir latihan pasukan khas

Pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang meninggal dunia semalam akibat dijangkiti virus Zika, sedang mengikuti kursus latihan pasukan khas agensi itu ketika jatuh sakit.

Pegawai Penguatkuasaan dan Eksesais APMM Pahang Komander Maritim Razali Kasim, berkata Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim, 30, sedang dalam fasa akhir latihan bagi menyertai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat APMM, yang dijangka tamat pertengahan bulan hadapan.

"Ketika dimasukkan ke hospital, Mohamad Ikmal sedang dalam latihan di laut iaitu fasa terakhir latihan bersama pasukan khas pasukan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) di Lumut, Perak.

“Ia adalah satu berita yang mendukacitakan bagi kami semua di APMM,” katanya ketika majlis pengebumian Mohd Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, di Kuantan, hari ini.

Dalam majlis itu, Razali turut menyampaikan lipatan bendera kepada balu Mohamad Ikmal, Siti Salbiah Roslie yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja, dalam suasana sayu sambil disaksikan keluarga dan rakan-rakan yang hadir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 7.15 pagi selepas tiba di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap di Kuantan dari Perak, pada pukul 5.45 pagi dan disolatkan selepas solat subuh.

Mohamad Ikmal yang bertugas di KM Nusa Maritim Terengganu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak, akibat virus Zika, pada jam 4.45 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Okt lalu.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Ikmal, Ibrahim Abdul, 60, berkata meskipun berasa sedih dengan kematian anak ketiganya itu, beliau berbangga, kerana anaknya berani mengikut jejak langkahnya dengan menyertai pasukan khas APMM.

“Saya berasa bangga dengan Allahyarham, kerana saya sendiri adalah seorang anggota komando Tentera Darat. Beliau juga anak yang cekal dan kuat pegangan agama,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata kes jangkitan Allahyarham adalah kes jangkitan virus Zika kesembilan di negara ini sejak 2016.

-Bernama

Lihat Komen
ADS