Malaysiakini
BERITA

K'jaan terima 4 tawaran ambil alih Plus - Baru Bian

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Okt 2019, 2:52 tengahari

Kementerian Kerja Raya mengesahkan setakat ini menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih Plus Malaysia Bhd (Plus).

Menterinya Baru Bian berkata pihak yang mengemukakan tawaran tersebut ialah Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Halim Saad.

Katanya kesemua tawaran tersebut akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu lagi untuk diputuskan.

“Pada tahap ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi KKR (Kementerian Kerja Raya) yang bertanggungjawab atas lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, kita menyediakan semua tawaran ini dan akan kemukakan kepada kabinet dan akan menasihati kabinet apa yang baik dari segi kita. Ia akan diselesaikan dalam masa beberapa minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan-Edisi Terengganu dan Pertandingan Worldskills Malaysia 2019 di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, di Kuala Berang hari ini.

Baru berkata walaupun kementerian mempunyai tempoh masa sendiri untuk menyelesaikan perkara tersebut namun akan cuba melakukannya secepat mungkin kerana memahami ia merupakan kebimbangan rakyat.

“Kita akan lakukan dalam waktu yang diperuntukkan dan kita memang mahu ia dilaksanakan secepat mungkin. 

"Saya faham ini satu isu yang dibimbangkan bagi rakyat Malaysia dan sudah pasti kita tak akan melengahkannya terlalu lama,” katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.