Kegiatan peniaga dan penjaja warga asing semakin berleluasa di kawasan Chow Kit kerana mereka dilindungi oleh pemimpin Umno, kata Presiden Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Wilayah Persekutuan PPKBWP, Baharim Razak.

Katanya, gara-gara orang politik itu menjadi punca utama timbulnya pelbagai masalah di kawasan peniagaan, khususnya masalah yang dihadapi oleh peniaga dan penjaja kecil tempatan di Jalan Raja Hussin, di kawasan Chow Kit.

Menurutnya, pihak berkuasa dan persatuan sukar bertindak ke atas peniaga warga asing di kawasan Chow Kit kerana mereka dilindungi oleh pemimpin Umno.

Beliau menjelaskan, ahli dan pemimpin Umno berkenaan menjadi pemilik lot-lot perniagaan berkenaan dan menyewakannya kepada warga asing bagi mendapat keuntungan mudah.

"Jika persatuan bertindak mereka menggunakan kuasa politik untuk menyusahkan persatuan dan peniaga lain yang tidak menyokong mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, orang politik mendapat banyak lot tapak niaga di kawasan Chow Kit terutama Jalan Raja Bot dan Jalan Haji Hussin walaupun mereka bukan peniaga.

Beliau hairan mengapa orang politik seperti pemimpin Umno diberi banyak lot perniagaan sedangkan ramai peniaga dan penjaja memohon untuk mendapatkan tempat berniaga.

Pelarian politik

Baharim berkata, mengikut bancian yang dibuat oleh PPKBWP, terdapat kira-kira 600 lot niaga di kawasan Chow Kit dan sebahagiannya kini dikuasai oleh peniaga asing terutama dari Indonesia.

Katanya, pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap peniaga Acheh, pelarian Rohingya dan Selatan Thailand kerana mereka mendapat status pelarian politik.

"Dengan status tersebut, mereka boleh berniaga dan bekerja di negara ini kerana kerajaan cuma akan bertindak jika mereka melakukan jenayah," katanya.

Menurut Baharim, pihaknya tidak pernah mengiktiraf warga asing yang menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka.

PPKBWP katanya, pernah melaporkan kegiatan peniaga Aceh di kawasan Chow Kit kepada pihak berkuasa tetapi tidak ada tindakan diambil terhadap mereka.

Baharim juga memberitahu, bagi mengatasi masalah kesesakan peniaga dan penjajas di sekitar Chow Kit, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan membangunkan kawasan tersebut menjadi pusat perniagaan moden seperti di Jalan Petaling dan Masjid India.

Kerja-kerja pembinaan pusat perniagaan baru itu membabitkan Jalan Raja Bot, Lorong Raja Bot dan Jalan Haji Hussin dan dijangka dimulakan sebelum akhir tahun ini.

"Saya tidak dapat memberitahu kos tetapi difahamkan ia lebih besar daripada projek menaikkan taraf kawasan perniagan Jalan Petaling dan Masjid India," katanya.