Paling Popular
Terkini

Usahawan berjaya diharap dapat berkongsi petua kejayaan dalam perniagaan masing-masing dengan masyarakat, terutama golongan muda yang masih menganggur.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Arunarnsin Taib berkata usaha baik itu dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

"Berniaga adalah kerjaya yang baik jika seseorang itu tidak berjaya mendapatkan pekerjaan.

"Kita tahu pekerjaan yang ada sangat terhad, namun pemohon ramai dan jika gagal dalam memohon pekerjaan, akhirnya terpaksa menganggur lagi," katanya pada majlis Anugerah Usahawan Sandakan di Sandakan malam tadi.

Lebih 1,000 usahawan menghadiri majlis yang julung kali dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUS), Dewan Perniagaan dan Pembangunan Usahawan Sandakan, dan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSNITA) itu.

Pada majlis sama, empat tokoh tempatan Sandakan menerima anugerah usahawan cemerlang dan 31 usahawan menerima anugerah usahawan harapan selain anugerah khas kepada lima penerima, termasuk Presiden DPUS Anita Mohammed dan Presiden IKSNITA Dayang Haja Khatijah Datu Bachtiyal.

Sempena majlis anugerah itu juga, DPUS menandatangani sijil kolaborasi dengan Kolej Komuniti Sandakan dan Home Chef Kongsi Resepi (HCKR) untuk menawarkan kursus keusahawanan jangka pendek dalam bidang masakan, yang dikendalikan oleh pengasas HCKR chef Sukiman Paiman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS