Terjemahan Parti pembangkang Sarawak Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) kehilangan beberapa pemimpin terkemukanya apabila bekas isteri dan dua anak lelaki pengasas parti itu Stephen Ningkan menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hari ini.

SPDP adalah parti serpihan Snap yang ditubuhkan ketika kemuncak krisis kepimpinan yang mengakibatkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Rosalind, 59, menyerahkan lebih 29 borang permohonan keahlian kepada Presiden SPDP, William Mawan di ibupejabat parti itu di Kuching.

Ia disaksikan oleh ahli keluarga Rosalind, termasuk anak lelakinya Paul dan Gerald Naib Presiden terkanan SPDP, Peter Nansian serta beberapa pegawai parti berkenaan.

Ketika mengalu-alukan kemasukan anggota keluarga Ningkan ke dalam SPDP, Mawan menyifatkan Snap sebagai "sebuah parti yang hanya tinggal kerangka sahaja".

Beliau juga berkata, proses pengumpulan kekuatan politik sedang berlaku yang membabitkan Parti Rakyat Sarawak. Jika kedua parti tersebut bersatu, entiti baru itu akan mempunyai sekurang-kurangnya 17 kerusi negeri dan 11 kerusi Parlimen.

Hak keluarga Ningkan

Ningkan adalah Ketua Menteri pertama Sarawak selepas kemerdekaan. Rosalid, 59, adalah Ketua Wanita Snap sebelum beliau meletak jawatan pada bulan Mei 2004.

Presiden Snap Edwin Dundang tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya. Menurut seorang pekerja parti itu, beliau berada di Betong.

Timbalannya, Justine Jinggut, memberitahu malaysiakini, ia adalah hak ahli keluarga Ningkan untuk meninggalkan parti itu dan menyertai parti politik yang lain.

Ketika membaca satu kenyataan, Paul berkata mereka telah meninggal Snap kerana ia bukan lagi parti seperti sebelumnya dan mereka menyertai SPDP sebuah parti anggota Barisan Nasional tanpa sebarang syarat.

Bercakap bagi pihak kumpulan berkenaan, beliau mendakwa gaya kepimpinan Snap sekarang tidak menguntungkan rakyat kerana parti itu hanya dikuasai oleh "beberapa individu sahaja".

Snap adalah anggota barisan pembangkang Barisan Bersatu Sarawak yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat dan parti Kongres Dayak Malaysia yang belum lagi didaftarkan serta beberapa individu.

Gerald memberitahu wartawan, beliau menjangka kira-kira 200 ahli Snap dari Sibu, Miri dan Betong akan menurut jejak langkah mereka menyertai SPDP.

Pada 1970-an, Snap menangi 48 kerusi dewan undangan negeri. Berita asal


TONY THIEN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Sarawak.