Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Jabatan Kehakiman kaji cadangan ujian poligraf di mahkamah'

Jabatan Kehakiman akan meneliti cadangan untuk menggunakan ujian poligraf untuk pembuktian kes di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menjelaskan langkah itu perlu kerana cadangan itu akan melibatkan pindaan terhadap undang-undang yang perlu dibuat bagi membolehkan ujian itu digunakan ketika memberi keterangan di mahkamah.

"Saya fikir, pertama sekali, kita perlu meneliti sama ada ia akan melibatkan peruntukan undang-undang sedia ada, yang mana perlu dipinda kerana proses pengambilan keterangan di mahkamah sekarang dikawal selia oleh Akta Keterangan 1950.

"Jika ada perkara baru ingin dilaksanakan di mahkamah yang melibatkan keterangan saksi, tentu sekali kita perlu melihat sama ada perlu untuk meminda undang-undang sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita pada lawatannya ke Mahkamah Sandakan hari ini.

Pada 14 Okt lepas, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Abu Kassim Mohamed mencadangkan penggunaan ujian poligraf, iaitu alat yang merakam gerak balas fisiologi bagi mengesan sebarang pembohongan, di mahkamah, tetapi menyerahkan kepada institusi kehakiman untuk menentukan penggunaannya.

Mengenai lawatannya ke Mahkamah Sandakan, Tengku Maimun berkata beliau berpuas hati dengan prestasi mahkamah itu, termasuk pendengaran kes di Beluran, Kinabatangan dan Telupid.

"Di sini tidak mempunyai banyak kes lama tertunggak. Yang ada cuma tiga kerana keputusan Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes dikembalikan semula ke sini," katanya.

Tengku Maimun memaklumkan lawatannya ke Sandakan merupakan yang kedua selepas 14 tahun ketika menjawat jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan terlibat dalam persiapan majlis perasmian kompleks bangunan mahkamah Sandakan.

Esok, beliau akan menyertai program Mahkamah Bergerak di Paitan.

"Saya merasakan penglibatan Mahkamah Bergerak ke kawasan pedalaman Sabah adalah satu usaha yang sangat murni dan saya merasakan bahawa saya perlu melibatkan diri sebagai tanda menghargai apa yang telah dilakukan oleh pihak mahkamah di Sabah dan juga Sarawak," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS