Isu jambatan: Kjaan mahu tumpu pada pelaksanaan RMK9
Kerajaan memutuskan untuk menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor setelah mengambilkira sentimen rakyat dan bagi memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Kerajaan memutuskan untuk menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor setelah mengambilkira sentimen rakyat dan bagi memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjelaskan perkara itu berkata isu berkaitan pembinaan jambatan itu mendapat perhatian bukan sahaja daripada penduduk Johor, malah rakyat di seluruh negara.
"Kita memantau sentimen rakyat dan perasaan orang ramai sepanjang masa. Sudah banyak yang diperkatakan. Kita tidak boleh terus jadikan ia sebagai perkara kontroversi yang akan memberi kesan kepada RMK-9. Kita mahukan RMK-9 berjaya.
"Banyak pandangan tentang pemberian ruang udara, cakap-cakap tentang pengambilan pasir kita, malah di negeri-negeri di utara yang yang tidak terbabit juga bercakap mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota Dewan Rakyat mengenai keputusan kerajaan memberhentikan pembinaan jambatan baru itu.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata ekoran keputusan kerajaan itu, segala rundingan berkaitan perkara tersebut turut dihentikan.
"Sama ada lain-lain rundingan akan kita teruskan...itu soal lain," katanya.
Syed Hamid berkata keputusan itu sudah disampaikan kepada rakan sejawatnya George Yeo melalui panggilan telefon dan beliau berharap keputusan itu tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Projek gajah putih
"Saya harap ia tidak akan menjejaskan hubungan dua hala. Dari satu segi ia selaras dengan kehendak Singapura. Singapura mahukan supaya tambak itu tidak digantikan. Sekarang kita sudah setuju, saya rasa ia tidak seharusnya menimbulkan ketegangan dalam hubungan dua hala," katanya.
Ditanya mengenai projek Gerbang Selatan Bersepadu, Syed Hamid berkata kerajaan akan mempastikan ia digunakan sepenuhnya dan tidak hanya menjadi sebagai projek gajah putih.
"CIQ (Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Kuarantin) adalah yang tercantik dan kita sudah siapkannya. Kita akan pastikan CIQ digunakan," katanya.
Gerbang Selatan Bersepadu yang terletak di kawasan seluas 43 hektar di Bukit Cagar, Johor Baharu turut melibatkan CIQ, pembinaan jalinan jalan raya dan keretapi serta pembinaan infrastruktur yang berkaitan pada kadar fast track bernilai RM2.5 bilion, yang dijangka menjadi mercu tanda indah laluan masuk antarabangsa dan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan keputusan kerajaan menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.
Beliau berkata kerajaan juga membuat keputusan menghentikan semua rundingan bersabit dengan jambatan itu. Pembinaan jambatan itu, yang bermula awal tahun ini, dikenali sebagai "jambatan indah" bagi menggantikan separuh daripada Tambak Johor di kawasan Malaysia.
Pembinaan jambatan menyeberangi Selat Tebrau bagi menggantikan Tambak Johor yang sudah berusia 80 tahun itu tidak disenangi Singapura yang beberapa kali menghantar nota bantahan kepada kerajaan Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.