Kontraktor 'jambatan indah", Gerbang Perdana Sdn Bhd telah diarahkan menghentikan serta-merta kerja-kerjanya ekoran keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan tersebut yang menghubungkan Johor dengan Singapura.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Dr Wahid Omar sudah diarah untuk memaklumkan serta-merta keputusan kerajaan itu secara rasmi kepada Gerbang Perdana.

Bercakap kepada pemberita selepas merakamkan perutusannya sempena sambutan Tahun Baru Tamil di kementeriannya, beliau berkata, Gerbang Perdana juga diarahkan supaya mengeluarkan semua jentera dan peralatannya dari tapak pembinaan.

Syarikat itu juga diarah supaya membersihkan kawasan tapak dan memberitahu Kementerian Kerja Raya jumlah wang yang sudah dibelanjakannya sejak memulakan projek itu tiga minggu lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun itu dan memberhentikan semua rundingan dengan Singapura berkaitan jambatan itu.

Menurut laporan Bernama , Abdullah berkata kerajaan mengambil keputusan itu selepas mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama mengenai bekalan pasir dan ruang udara.

Kompleks Kastam

Samy Vellu berkata Gerbang Perdana sebaliknya akan diminta membina jalan bertingkat yang kekal, yang akan menyambungkan kompleks baru Kastam,Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang akan siap September ini, dengan Tambak Johor.

"Sebelum ini kita fikir hendak membina jalan sementara bagi menyambungkan Tambak Johor dengan kompleks CIQ, tapi kini disebabkan kita tidak jadi membina jambatan indah ini, kita akan meminta mereka membina jalan kekal."

Ditanya sama ada kerajaan akan membayar pampasan kepada Gerbang Perdana bagi kerja-kerja yang sudah disiapkan setakat ini, Samy berkata, kerajaan ingin mengetahui berapakah jumlah yang sudah dibelanjakan oleh syarikat itu untuk kerja-kerja itu, pemindahan jentera dan pembinaan struktur bagi projek berkenaan.

Beliau berkata jalan kekal yang akan menghubungkan kompleks CIQ dengan Tambak Johor itu akan siap September ini agar sempat digunakan sempena pembukaan kompleks itu.

"Jalan itu harus dibina bertingkat kerana ia melalui beberapa batang jalan utama dekat dengan Tambak Johor," tambahnya.

Ditanya sama ada Kabinet hari ini membincangkan alternatif kepada jambatan indah itu, Samy Vellu berkata pucuk pimpinan tidak membincangkan apa-apa alternatif.