Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
142 bekas banduan Penjara Kajang diterima bekerja sejak April

Seramai 142 bekas banduan dari Penjara Kajang berjaya ditempatkan di beberapa sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Program Penempatan Semula sejak ia diperkenalkan pertengahan April hingga 19 Okt ini.

Pengarah Penjara Kajang Abdul Halim Ma-Hasan berkata program berkenaan melibatkan tiga institusi iaitu Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Penjara Seremban.

"Di Penjara Kajang sahaja ia melibatkan sebanyak lima NGO dan 14 syarikat swasta yang turut bekerjasama dalam program ini bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan dan peluang kembali dalam masyarakat.

"Tiada kuota khusus penempatan ditetapkan dengan kesemua bekas banduan terlibat telah ditempatkan di pelbagai sektor khususnya pertanian dan pembinaan,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan bersempena Bulan Sukan Negara Peringkat Unit Rawatan dan Pemulihan Dadah (RPD) Penjara Kajang hari ini.

Abdul Halim berkata penempatan bekas banduan ini adalah berdasarkan permintaan daripada pelbagai pihak terbabit selain turut dihantar bekerja di beberapa negeri misalnya Perak, Pahang dan Melaka.

"Ada juga antara banduan pra bebas turut menjalani latihan pekerjaan di luar kawasan penjara sambil dipantau pegawai penjara. Mereka ini diberikan pendedahan awal bekerja dengan syarikat di luar sebelum khidmat mereka diambil mana-mana pihak sejurus bebas," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS