BERITA Malaysiakini

Hujan, angin kencang: 20 keluarga terjejas di Batu Pahat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kira-kira 20 keluarga di Batu Pahat terjejas ekoran kejadian hujan berserta angin kencang sehingga mengakibatkan kediaman masing-masing rosak setelah bumbung rumah mereka diterbangkan angin, hari ini.

Kejadian yang berlaku hampir satu jam kira-kira 3.20 petang itu melibatkan beberapa kawasan iaitu sekitar Bagan, Simpang Lima, Peserai, Sungai Ayam dan Tanjung Laboh, dekat Batu Pahat.

Seorang penduduk yang tinggal di Kampung Parit Haji Ibrahim, Simpang Lima, Jamilah Nasir berkata semasa kejadian, dia dan suaminya [email protected] Donan, 74, sedang berehat di rumah.

Kata wanita berusia 58 tahun itu, tiba-tiba berlaku hujan lebat disusuli angin kencang sehingga menimbulkan kerisauan dan ketakutan mereka, tambahan pula dengan keadaan suaminya yang sakit setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

“Kami bertambah takut apabila beberapa keping atap rumah kami diterbangkan angin sehingga mengakibatkan bahagian ruang tamu dimasuki air, selain beberapa pokok di sini tumbang,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pihaknya kini dalam usaha untuk membantu keluarga yang terjejas terutamanya di sekitar Bagan, Simpang Lima dan Peserai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor itu berkata selain kerosakan dikesan di beberapa kediaman, kejadian angin kencang itu turut membabitkan kejadian pokok tumbang di laluan utama Jalan Batu Pahat-Muar sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Saya turut melawat beberapa rumah yang terjejas dan menasihatkan mangsa agar membuat laporan polis dengan segera… selain saya turut memaklumkan dengan Pejabat Daerah Batu Pahat, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk bantuan segera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata tindakan pembersihan kawasan yang terjejas terutamanya yang menghalang laluan telah membabitkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Batu Pahat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh APM Batu Pahat, pihaknya kini masih melakukan rondaan dan pemantauan dengan membabitkan sebuah ambulans dan pacuan empat roda selain mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

- Bernama