Terjemahan Ahli Parlimen tertanya-tanya sama ada keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, akan mengakibatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang berharga RM1.2 bilion, menjadi projek 'gajah putih'

Ketika mengalu-alukan keputusan kerajaan itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Samad berkata, ia akan menamatkan perdebatan mengenai permintaan Singapura supaya dibenarkan menggunakan ruang uadara Malaysia dan bekalan pasir ke republik tersebut.

Bagaimanpun, katanya, persoalan yang timbul sekarang ialah bagaimanapun KIK akan dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak ditinggalkan begitu sahaja.

"Kita akan tunggu dan lihat," kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen petang tadi.

"Mungkin ia boleh digunakan sebagai pejabat MP (ahli Parlimen) Johor Bahru," katanya berseloroh.

Shahrir berkata, wang yang dapat dijimatkan daripada pembatalan pembinaan jambatan tersebut juga dikenali sebagai jambatan indah hendaklah digunakan untuk menambahbaik sistem jalan di Johor bagi menangani masalah kesesakan lalulintas.

Ditanya apakah pengajaran yang perlu dipelajar dari episod tersebut, beliau menegaskan perlunya sesuatu itu diracang dengan baik, dengan mengambilkira semua aspek.

Menang atau kalah?

Seorang lagi penyokong kerajaan, Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut menyuarakan kebimbangannya terhadap masa depan KIK, sambil berkata, adalah sukar untuk menyambung kompleks tersebut dengan tambak Johor kerana kecerunannya.

"Ini saya serahkan kepada pakar di Jabatan Kerjaraya untuk mencari penyelesaiannya. Saya tidak mahu melihat ia menjadi projek gajah putih. Jika tidakpun, kompleks tersebut boleh diubahsuai untuk tujuan lain," katanya ketika ditemui di Parlimen.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu dilihat sebagai satu "kekalahan", beliau menjawab: "Saya tidak mahu menggunakan perkataan kalah atau menang dalam hal ini, tetapi ini merupakan keputusan terbaik oleh kerajaan."

Sebelum itu, kira-kira 50 ahli Parlimen mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk mendengar taklimat mengenai keputusan kabinet membatalkan projek berkenaan. Berita asal