Paling Popular
Terkini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan tuntutan peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara bagi dakwaan salah laku kehakiman.

Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu semasa prosiding mahkamah terbuka petang ini.

Hakim memutuskan bahawa pemohon Sangeet tidak lagi mempunyai isu untuk dibangkitkan kerana sabitan ayahnya, mendiang Karpal Singh telah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Kepentingan pemohon (Sangeet) telah diperbaetulkan dan tidak ada lagi pembetulan yang diperlukan.

"Perintah pengisytiharan (bahawa ketua hakim negara terlibat salah laku) itu tidak lagi perlu," kata Firuz.

Terdahulu, semasa prosiding yang sama, Firuz membenarkan permohonan responden untuk membatalkan 144 daripada 152 perenggan afidavit Hamid Sultan yang digunakan Sangeet dalam tindakan undang-undangnya terhadap ketua hakim.

Ketua Hakim Negara, melalui Pejabat Peguam Negara, telah memfailkan permohonan pengguguran pada 7 Mac.

Dalam membaca penghakimannya, Firuz berkata mahkamah mengambil maklum bahawa pemohon sebelum ini memaklumkan mahkamah hasratnya untuk menarik saman pemula.

Firuz berkata perkara itu telah dipersetujui oleh responden tanpa sebarang perintah mengenai kos tertakluk kepada permohonan untuk mengosongkan sebahagian afidavit Hamid Sultan.

Beliau juga berkata mahkamah juga mengambil kira perkara utama saman pemula, iaitu dakwaan campur tangan dalam kes mendiang Karpal Singh yang mengakibatkan sabitan terhadap pemimpin DAP itu, namin kini dilihat sebagai akademik selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan berkenaan pada 29 Mac lalu.

Ketika ditemui, Sangeet berkata keputusan hari ini tidak menangani isu akar sama ada terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Karpal.

Beliau juga menggesa badan kehakiman untuk secara proaktif menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.

"Badan kehakiman perlu melakukan perkara yang betul dan menyiasat perkara itu. Pengeluaran (sebahagian afidavit Hamid Sultan) tidak mengenepikan perlunya siasatan.

"Dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman tidak ditangani. Ini merupakan isu yang masih belum disiasat sehingga hari ini.

"Pengeluaran (sebahagian afidavit Hamid Sultan) dan menyifatkan kes saya sebagai akademik (seperti keputusan hari ini) tidak menangani masalah utama iaitu campur tangan dalam badan kehakiman," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS