Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM150j untuk baiki 6,000 rumah keluarga tentera

Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM150 juta bagi tahun 2020 untuk memperbaiki 6,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kementeriannya akan memastikan RKAT sedia ada dipulihkan dan dapat didiami dengan selesa oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, ketika ini, Kementerian Pertahanan memberi tumpuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan selari dengan dasar kerajaan menerusi budaya memperbaiki, mengganti dan memulihkan (repair, replace and restore - 3R).

“Usaha ini berikutan satu projek perintis yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan pada tahun ini, dengan dana sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan meliputi 1,947 unit RKAT di seluruh negara.

"Hampir semua projek pembaikan ini dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

“Fokus kepada penyelenggaraan serta pemulihan RKAT jelas diperlukan berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata pelbagai jenis kelemahan dalam perancangan pengurusan penyelenggaraan RKAT sedia ada serta kegagalan pentadbiran terdahulu untuk mematuhi peraturan, menyebabkan banyak unit bertambah rosak dan terbiar.

“Daripada 54,497 unit RKAT dalam pegangan, didapati 12,261 unit (22.5 peratus) tidak selamat untuk diduduki kerana terlalu uzur.

Elak peruntukan disalah guna

“Dari 2016 hingga 2018, hanya 2,447 unit tersebut diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan, jauh lebih rendah berbanding 8,724 unit yang dirancang pada asalnya,” kata Mohamad.

Beliau berkata daripada 26,487 aduan yang dibuat berkenaan penyelenggaraan dari 2015 hingga 2018, hanya 17,014 aduan (64.2 peratus) yang dapat diselesaikan.

Mohamad berkata perkara itu berlaku akibat kecuaian pentadbiran sebelum ini yang tidak peka terhadap keperluan sebenar ATM.

“Kementerian saya mengambil maklum syor-syor lain dalam laporan tersebut untuk menyediakan pelan penyelenggaraan pencegahan khasnya pembaikan pam air, garis panduan berkenaan penyelenggaraan lif, menambah baik proses penyediaan kontrak dan memastikan pematuhan kepada peraturan dalaman supaya peruntukan tidak disalahgunakan.

“Syor-syor ini akan dipertimbangkan untuk pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada anggota ATM,” katanya.

Mohamad berkata keadaan unit RKAT merupakan satu daripada elemen yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka.

Katanya, unit RKAT yang selesa secara langsung akan meningkatkan semangat anggota ATM yang banyak berkorban ketika menjalankan operasi sepanjang tahun.

“Dengan adanya RKAT yang dijaga dengan baik, maka anggota ATM tidak perlu bimbangkan keadaan keluarga mereka ketika bertugas.

"Keselesaan dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat hanya tercapai melalui titik peluh dan darah anggota ATM,” katanya.

Mohamad berkata sewajarnya anggota ATM dan keluarga mereka turut menikmati keselesaan berkenaan dan kementeriannya sentiasa bersedia untuk memastikan setiap anggota ATM yang berkeluarga menduduki unit RKAT terbaik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS