Terjemahan Kerajaan yakin menang seandainya isu mengenai pembinaan jambatan separuh ke Tambak Johor itu dibawa ke mahkamah antarabangsa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Semalam, kabinet mengambil keputusan untuk membatalkan pembinaan jambatan yang dikenali sebagai jambatan indah.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Syed Hamid berkata kerajaan, dari awal lagi, telah mendapat nasihat perundangan berhubung perkara tersebut.

"Kita tidak pernah diberi nasihat (perundangan) yang salah, dari awal lagi (kita tahu) kita boleh bina (jambatan). Kita juga yakin sekiranya kita pergi (ke mahkamah antarabangsa) atau jika kita berdepan dengan tindakan undang-undang, kita akan menang," tambahnya.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Malaysia tidak meneruskan pembinaan jambatan tersebut kerana implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit kelak.

Bukan keputusan tiba-tiba

Semalam, Perdana Menteri berkata, masalah akan timbul apabila hendak potong tambak, laluan paip air dan laluan keretapi (yang sedia ada) untuk disambungkan dengan jambatan yang baru.

Beliau juga berkata, keputusan yang dibuat kerajaan itu juga bukan disebabkan oleh tekanan daripada mana-mana pihak (Singapura).

Abdullah juga berkata, kerajaan akan membayar pampasan kepada kontraktor Gerbang Perdana Sdn. Bhd. sebanyak kira-kira RM100 juta.

Mengulas mengenainya, Syed Hamid melahirkan harapan agar keadaan kembali sejuk dan "rakyat akan melihat kebijaksanaan di sebalik keputusan kerajaan itu".

Katanya, ianya bukan satu keputusan yang dibuat secara tiba-tiba, tetapi sebaliknya diputuskan selepas menimbang dan mengambilkira semua isu dan "kita yakin yang kita akan berjaya". Berita asal