PAS tidak yakin dialog Umno-PAS jadi kenyataan
PAS tidak yakin dengan cadangan Umno yang dikatakan sedia berdialog dengan parti pembangkang itu mengenai takrif negara Islam bertujuan mengelak kekeliruan di kalangan rakyat.
"PAS tidak yakin ia boleh berlaku kerana kita (PAS) percaya ura-ura untuk mengadakan dialog itu akan akhirnya senyap begitu saja," kata Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor ketika dihubungi malaysiakini, tengahari ini.
Pengerusi Biro Agama Umno, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman hari dilaporkan berkata Umno sedia berdialog dengan PAS mengenai takrif negara Islam bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.
Umno sedia bekerjasama dengan ulama PAS kerana semua ahli agama, termasuk dari Umno belajar dan mengunakan buku serta sumber rujukan yang sama, kata Dr Abdul Hamid seperti yang dipetik dalam laporan akhbar, hari ini.
Menurut Fadzil pihaknya berpendapat cadangan berdialog itu juga akan berakhir dengan kegagalan sepertimana cadangan untuk mengadakan pertemuan PAS-Umno Februari lalu.
"Mula-mula mahu diadakan perdebatan, kemudian muzakarah selepas itu mahu diadakan pertemuan dengan Pusat Islam, tapi semuanya senyap begitu saja," tambahnya.
Bagaimanapun, menurutnya, PAS akan menimbangkan cadangan terbaru itu jika Umno mengemukakan perkara itu secara rasmi kepada parti tersebut.
Salah tafsiran
Sementara itu, Abdul Hamid dilaporkan berkata perbincangan secara ilmiah penting kerana ada pihak cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa negara Islam hanya boleh didirikan secara kekerasan.
Sabtu lalu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Manakala Fadzil dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula tetap menganggap Malaysia bukan negara Islam kerana mendakwa ia tidak mengamalkan dasar Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis.
Fadzil turut meminta perdana menteri memperincikan konsep negara Isalm di parlimen bagi mengelakkan kekeliruan rakyat.

