Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPM serah pada autonomi universiti isu protes hari graduasi

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menjelaskan bahawa kementeriannya tidak akan campur tangan untuk menjadi pengantara antara Universiti Malaya (UM) dengan graduan yang melakukan protes di hari graduasi, Wong Yan Ke.

Katanya, KPM menghormati kuasa autonomi universiti dan mempercayai universiti untuk menguruskan hal itu sendiri.

“Kita menghormati universiti dan ini telah dinyatakan oleh perdana menteri, bahawa universiti boleh mengendalikan isu seperti ini, tidak perlulah campur tangan dari kerajaan.

“Saya pun telah memberitahu kepada timbalan saya, Teo Ni Ching, bahawa kita tidak akan terlibat. Mediasi hanya kalau kedua-dua pihak bersetuju.

“Jadi buat sementara ini, kita menyerahkan kepada UM sebab kita percaya kepada autonomi, dan kita tak mahu (berlaku) campur tangan politik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Dewan Wadi Budi, UIAM Gombak.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita tentang perkembangan terbaru usaha ‘mediasi’ antara kedua pihak terbabit, seperti yang dimaklumkan oleh timbalannya minggu lalu.

Pada 18 Oktober, Teo dilaporkan berkata KPM sedang dalam proses mencari penyelesaian terbaik berhubung isu Wong dan UM yang akan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan.

Wong pada 14 Okt lalu melakukan protes apabila melaungkan “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” pada hari graduasi di UM.

Dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu (KMM) pada 6 Oktober lalu.

Sehari selepas itu, UM membuat laporan polis atas tindakan Wong itu, dan Wong dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis pada 16 Oktober.

Tindakannya itu mencetuskan dua macam reaksi daripada orang ramai- sebahagian mengecam tindakan yang disifatkan sebagai biadap dan tidak kena masa dan tempat, manakala sebahagian lagi menyokong tindakannya itu sebagai berani dan merupakan hak kebebasan bersuara.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata biarpun mengakui hak untuk melakukan protes, ia perlu dilakukan kena pada tempatnya dan tidak menganggu istiadat formal untuk “menunjukkan pandangan yang berbeza”.

Wong pula, pada 19 Oktober mendesak UM menarik balik laporan polis terhadapnya bagi membuktikan komitmen universiti itu terhadap kebebasan bersuara, selain meminya Abdul Rahim Hashim tampil membuat penjelasan mengenai ucapan di KMM yang didakwa berbaur perkauman.

Sementara itu, Maszlee turut memaklumkan bahawa Wong dan seorang lagi pelajar yang tidak sempat melakukan protes di hari graduasi, kedua-duanya telah mendapat ijazah mereka yang dikatakan ditahan.

UM juga pada 19 Oktober memaklumkan hal seumpamanya, iaitu pihak universiti tidak akan menahan skrol dan transkrip akademik, atau menarik balik ijazah pelajar terbabit, dan memaklumkan ia boleh diambil pada bila-bila masa bermula 18 Oktober.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum menerima sebarang writ saman berhubung lima peminjam PTPTN yang memfailkan saman terhadap badan itu, PH dan kerajaan Malaysia.

Lima individu itu mendakwa ketiga-tiga defendan itu terikat secara kontrak untuk menunaikan janji manifesto ekoran kemenangannya dalam PRU ke-14, berhubung penangguhan bayaran pinjaman untuk mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

“Saya dah hubungi PTPTN, setakat ni belum terima apa-apa writ lagi.

“Kalau mereka terima, nanti mereka akan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS