Pertemuan sulit Loh dengan Umno malam ini
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok akan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan pucuk pimpinan Umno Bahagian Kelana Jaya malam ini bagi menyelesaikan isu berhubung syornya di Dewan Rakyat baru-baru ini supaya kerajaan menubuhkan Jabatan Kemajuan Agama ( Jakam ).
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok akan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan pucuk pimpinan Umno Bahagian Kelana Jaya malam ini bagi menyelesaikan isu berhubung syornya di Dewan Rakyat baru-baru ini supaya kerajaan menubuhkan Jabatan Kemajuan Agama ( Jakam ).
Menurut sumber, pertemuan itu akan berlangsung di satu tempat yang dirahsiakan bagi mengelak ia dikesan oleh media massa.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang juga Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya dikatakan mengarahkan perbincangan tersebut diadakan secara sulit.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Muhd Taib enggan memberi sebarang komen mengenai majlis perbincangan tersebut.
Menurut sumber itu, Muhd Taib sendiri akan mempengerusikan perbincangan tersebut. Selain Loh ia turut membabitkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Kelana Jaya seperti wakil Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian.
"Loh akan menerangkan mengapa dia membuat cadangan penubuhan Jakam di Dewan Rakyat baru-baru ini," kata sumber itu lagi.
Sementara itu ketika dihubungi, Loh enggan mengulas mengenai perkara tersebut dan berkata beliau akan mengadakan satu sidang akhbar mengenai isu itu di pejabatnya di Bandar Sunway, petang esok.
Enggan mengulas
Ketua Pemuda Umno Bahagian Kelana Jaya Abdul Halim Samad pula berkata, beliau tidak mahu memperbesarkan isu itu.
Sebaliknya beliau meminta wartawan malaysiakini mendapatkan ulasan dari Loh kerana menurutnya Ahli Parlimen Kelana Jaya itu yang banyak bercakap dengan akhbar.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu dan terpulang kepada Loh untuk membuat ulasan mengenai perkara tersebut," katanya lagi.Pada 15 Mac lalu Loh membangkitkan di Dewan Negara isu ketidakseimbangan silibus buku teks sejarah, garispanduan membaca doa untuk orang Islam dan masalah yang dihadapi oleh orang bukan Islam berhubung tempat beribadat.
Beliau juga mencadangkan penubuhan Jakam bagi menguruskan halehwal agama-agama lain selain dari Islam, di negara ini.
Beri kata-dua
Ekoran kelantangan beliau di Parlimen itu, enam hari kemudiannya, kira-kira 50 ahli Pemuda Umno, yang diketuai oleh Abdul Halim telah 'mengunjungi' Loh dipejabatnya bagi menyuarakan bantahan mereka.
Ketibaan mereka secara tiba-tiba pada kira-kira jam 9.30 malam memeranjatkan kakitangan pejabat Loh. Mereka telah menyerah surat bantahan kepada Loh dan difahamkan Abdul Halim telah memberitahunya: "Kami tidak mahu mendengar sebarang penjelasan sekarang, ini surat dari kami, baca dan jawab."
Ahli Parlimen tersebut juga difahamkan telah diberitahu bahawa Pemuda Umno akan "mengambil tindakan" jika beliau gagal menjawab surat tersebut dalam tempoh beberapa hari.
Difahamkan, Pemuda Umno telah menolak cadangan Loh untuk menubuhkan Jakam dengan alasan ia boleh memudaratkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Sebelum itu, Pemuda Umno bahagian tersebut juga dikatakan telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan ucapan Loh, dan membuat kesimpulan bahawa cadangan Loh itu telah menyakitkan hari orang Melayu, yang merupakan majoriti pengundi di kawasan parlimen Kelana Jaya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.