Pengurusan Airtime Management Programme (AMP) Radio Network Sdn Bhd yang mengendalikan stesen Radio ERA hari ini menemui pihak Istana Negara untuk memohon maaf di atas kesilapannya menyiarkan hebahan "kemangkatan" Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut sumber stesen radio berkenaan, pihak pengurusan AMP Radio Network telah mengadakan pertemuan dengan pihak istana, pagi tadi.

Semalam Pengarah Eksekutif AMP Radio Network, Borhanuddin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Measat Broadcasting Network system, Ralph Marshall dan Pengurus kanan Hal Ehwal Korporat Astro, David Yap telah bertemu Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob.

Khalil hari ini dilaporkan mengarahkan pengurusan All Asia Broadcast Centre (Astro) dan AMP Radio Network memohon maaf serta memberi penjelasan segera kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kesilapan pengumuman itu.

Dua hari lalu, kira-kira jam 8.45 malam, stesen radio swasta berbahasa Melayu itu telah menyiarkan berita yang mendakwa Seri Paduka Baginda telah mangkat. Pengumuman itu kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Selepas menyedari kesilapan itu, stesen radio popular itu menarik semula pengumuman tersebut serta memohon maaf kepada para pendengarnya.

Pengumuman itu telah menyebabkan orang ramai gempar dan pejabat akhbar utama menerima banyak panggilan telefon untuk mengesahkan pengumuman itu.

Diminta bercuti

Pihak pengurusan radio itu semalam, menjelaskan juruhebahnya tersilap menekan butang hingga rakaman latihan pengumuman kemangkatan Seri Paduka Baginda disiarkan ke udara.

Dalam perkembangan berkaitan, malaysiakini turut difahamkan juruhebah terbabit diminta "bercuti" sementara menunggu selesai siasatan terhadap kejadian itu.

"Dia (juruhebah) masih dalam keadaan terkejut dengan kesilapan yang berlaku kerana apa yang terjadi adalah kesilapan yang tidak sengajakan," kata sumber itu.