Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Mahathir tiba di Azerbaijan untuk sidang kemuncak NAM

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad tiba di Baku, ibu negara Azerbaijan malam tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev pada jam 7.15 malam waktu tempatan (empat jam lewat waktu Malaysia).

Sebaik tiba, Perdana Menteri dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Azerbaijan, Shahin Mustafayev, Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Yubazlan Yusof dan pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Pada pagi ini, Dr Mahathir dijadual ditemu bual oleh Islam Channel yang berpangkalan di United Kingdom sebelum bersama-sama dengan pemimpin dari lebih 20 negara pada perasmian Sidang Kemuncak NAM ke-18 di Pusat Kongres Baku.

Dr Mahathir kemudian akan mengambil bahagian dalam Perdebatan Umum mengenai Sidang Kemuncak bertemakan “Berpegang Kepada Prinsip Bandung” bagi memastikan tindak balas bersama dan mencukupi terhadap cabaran dunia semasa.

Kali terakhir Dr Mahathir menghadiri Sidang Kemuncak NAM ialah apabila Malaysia menjadi hos pada 2003.

Para pegawai Malaysia berkata Dr Mahathir, dalam ucapannya pada sesi pleno, dijangka menyentuh mengenai keadaan semasa perkembangan dunia, impak perang perdagangan, memerangi perang, isu Palestin dan keperluan untuk NAM kekal bersatu.

Beliau juga dijangka bertemu dengan beberapa pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak selama dua hari itu, antaranya Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Pada hari ketiga di Baku, Azerbaijan Dr Mahathir dijadual melawat Greentech Farm, sebuah kompleks rumah kaca moden yang menggunakan teknologi terkini dalam pengeluaran sayur-sayuran organik.

Beliau juga akan melawat pejabat Petronas yang setakat ini telah melabur lebih dari US$4 bilion (RM16.74 bilion) di Azerbaijan.

Menurut laporan, Petronas mempunyai pegangan 15.5 peratus dalam projek Shah Deniz dan dalam South Caucasus Gas Pipeline dan 12.4 peratus kepentingan dalam Syarikat Bekalan Gas Azerbaijan.

Dr Mahathir juga akan bertemu diaspora Malaysia di Azerbaijan dan mengadakan sidang media untuk media Malaysia sebelum berlepas ke Ashgabat untuk lawatan dua hari ke Turkmenistan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS