Zam lawat NSTP, Kalimullah pula ada temujanji di luar...
Menteri Penerangan, Datuk Zaiunuddin Maidin (Zam) melawat pejabat kumpulan akhbar The New Straits Times Press (NSTP) hari ini, namun harapan untuk melihat beliau bertemu dengan Timbalan Pengerusi NSTP, Datuk Kalimullah Hassan tidak menjadi kenyataan.
Menteri Penerangan, Datuk Zaiunuddin Maidin (Zam) melawat pejabat kumpulan akhbar The New Straits Times Press (NSTP) hari ini, namun harapan untuk melihat beliau bertemu dengan Timbalan Pengerusi NSTP, Datuk Kalimullah Hassan tidak menjadi kenyataan.
Zam tiba di pejabat NST di Bangsar pada kira-kira jam 11 pagi dan berada di situ sehingga jam 1 tengahari. Beliau dibawa melawat bahagian editorial kumpulan akhbar berkenaan dan diberi taklimat mengenai operasinya.
Menurut sumber, Kalimullah yang sering berbeza pendapat dengan Zam dalam beberapa isu, tidak hadir kerana ada temujanji dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn.
Ketua Pengarang NSTP, Datuk Hishamuddin Aun juga tidak hadir kerana menemani Kalimullah bertemu Menteri Pelajaran. Turut tidak kelihatan ialah Pengarang Kumpulan NST, Brendan Pereira.
Antara pengurusan kanan kumpulan NST yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Berita Harian, Datuk Manja Ismail dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Syed Nazri Harun.
Lawatan Zam ke pejabat NST ini ditunggu-tunggu oleh dunia media massa negara kerana ia dilihat sebagai majlis "berbaik-baik" antara beliau dengan Kalimullah.
Sebelum ini Menteri Penerangan itu melawat pejabat akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh. Beliau kini dalam siri lawatannya ke pejabat-pejabat akhbar yang menjadi tradisi setiap Menteri Penerangan yang baru dilantik.
'Campurtangan asing'
Perbezaan pendapat antara Zam dan Kalimullah menjadi pengetahuan umum selepas ahli Parlimen Merbok itu dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh dalam rombakan kabinet baru-baru ini.
Kalimullah telah menulis dalam rencananya di akhbar NST pada 16 Februari lalu secara terbuka mengkritik Zam kerana mendakwa ahli Parlimen Merbok itu ketika menghadiri mesyuarat tertutup Biro Penerangan Umno Malaysia sehari sebelum pelantikannya sebagai Menteri Penerangan telah menggesa supaya editor kanan NSTP dipecat.
.
Dan dalam reaksinya kepada tulisan Kalimullah itu, Zam berkata beliau tidak mahu melayan perkara-perkara remeh atau "rubbish".
Selepas itu kedua-dua mereka "berperang mulut" dan Zam beberapa kali dalam ucapannya, membangkitkan soal campurtangan asing dan korporat dalam media massa Malaysia yang disimpulkan oleh para pemerhati dirujuk kepada Kalimullah.
Menurut sumber, kunjungan Zam itu berjalan dalam suasana mesra dan ceria manakala Zam pula bersikap terbuka apabila ditanya tentang ketiadan Kalimullah di majlis itu.
Dalam sidang akhbar selepas itu, beliau dikatakan menyifatkan semua pegawai dan kakitangan kumpulan akhbar itu sebagai kawan.
Zam juga dikatakan telah menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa isu termasuk soal ucapan-ucapannya yang dianggap ditujukan kepada Kalimullah.
Menurutnya, beliau bercakap secara terus terang berdasarkan pandangannya dengan niat yang baik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.