Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sultan Johor: Buru harimau maka awak akan diburu semula
Diterbitkan:  Oct 26, 2019 12:19 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah memberi amaran terhadap kegiatan pemburu haram di kawasan hutan di negeri itu.

Baginda juga menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta agensi penguatkuasaan lain meningkatkan operasi rondaan di kawasan hutan di Johor.

“Amaran saya kepada pemburu tempatan, warga asing dan juga masyarakat Orang Asli jika mereka memburu harimau atau binatang lain maka awak akan diburu semula.

“Saya mahu Perhilitan tingkatkan operasi dan rondaan bagi membanteras kegiatan atau aktiviti pemburuan haram di hutan-hutan di Johor,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, Johor kaya dengan flora dan fauna dan ia perlu sentiasa dipulihara serta dijaga dengan sebaiknya.

Titah Sultan Johor lagi, baru-baru ini baginda dimaklumkan mengenai penemuan empat harimau termasuk dua harimau putih berhampiran Sungai Sayong, di Kota Tinggi.

Harimau Malaya diancam kepupusan dan berdasarkan kepada survei Harimau Kebangsaan 2016-2020 populasi Harimau Malaya berada pada tahap sangat membimbangkan iaitu kurang daripada 200 ekor.

Untuk rekod, Harimau Malaya merupakan salah satu daripada enam spesies harimau yang masih belum pupus di habitat semula jadi.

Selain itu terdapat lima lagi spesies iaitu Harimau Siberia, Harimau Bengal, Harimau Indo-China, Harimau China Selatan dan Harimau Sumatera yang kini cuma tinggal 3,300 ekor sahaja yang hidup liar.

Harimau Bali, Harimau Jawa dan Harimau Caspian telah pupus sepenuhnya akibat aktiviti pemburuan dan perdagangan haram.

Lihat Komen
ADS