Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris Haron: Umno sokong singkir ketua menteri Melaka, tapi...

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka sanggup bekerjasama dengan Bersatu untuk menyingkirkan Ketua Menteri Adly Zahari, kata ketua pembangkang negeri Idris Haron.

Bagaimanapun, Idris berkata mereka tidak akan menyokong langkah untuk memberikan kuasa kepada pemimpin Bersatu yang lain.

"Pertama sekali, tiada siapa yang datang dan menghampiri saya, untuk kerajaan 'pintu belakang' atau undi tidak percaya atau seumpamanya. Saya tidak mempunyai maklumat atau cadangan daripada sesiapa pun.

"Tetapi para penyokong BN mengatakan bahawa (Mohd) Rafiq (Naizamohideen) mahu jumpa ... yang saya tanya, kenapa?" kata bekas ketua menteri Melaka itu kepada Malaysiakini.

Menurut sumber Umno, Mohd Rafiq, yang merupakan exco negeri dari Bersatu, didakwa ingin bertemu dengan semua 13 orang Adun Umno di negeri itu.

Bagaimanapun, perjumpaan itu tidak berlangsung selepas Mohd Rafiq berjumpa dengan ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Rafiq menafikan perjumpaan itu adalah bagi membentuk kerajaan baru, dan sebaliknya menjelaskan bahawa sebarang perjumpaan dengan pemimpin Umno adalah untuk membincangkan kerjasama bersama untuk memajukan negeri.

Idris, bagaimanapun, percaya bahawa Mohd Rafiq cuba menyingkirkan Adly, yang disifatkan Adun Sungai Udang itu sebagai pemimpin yang lemah.

"Saya melihat Adly sangat lemah dan tidak dapat menguruskan exconya. Parti beliau (Amanah) hanya mempunyai dua kerusi, jadi mereka menerima belas kasihan DAP (yang mempunyai 8 kerusi).

"Jadi untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, jika ada usaha, Umno akan menyokong, tetapi bukan untuk mengangkat Mohd Rafiq sebagai ketua menteri," katanya.

Idris menambah bahawa kepentingan rakyat di Melaka terjejas oleh kerajaan negeri yang tidak dapat mengendalikan isu politik dengan baik.

Mohd Rafiq, yang dahulunya seorang ahli exco Pemuda Umno, dilihat tidak sehaluan dengan Idris.

Pada 2016, Mohd Rafiq digantung daripada Umno kerana didakwa cuba mensabotaj Idris dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak selepas mengundang Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri dialog pada 2015.

Dr Mahathir masih bersama Umno pada masa itu. Mohd Rafiq kini merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu.

Mohd Rafiq adalah antara 14 Adun Melaka PH yang menandatangani satu kenyataan memberi sokongan kepada Adly sebagai ketua menteri semalam.

Pada masa ini, PH Melaka mempunyai majoriti tipis dalam membentuk negeri dengan memegang 15 kerusi dari 28 kerusi. Ia bererti pembangkang hanya memerlukan satu kerusi tambahan dari PH untuk menggantung dewan undangan negeri.

Lihat Komen
ADS